11 kakitangan RISDA mengaku salah buat tuntutan palsu

SERAMAI 11 kakitangan RISDA mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa hotel dan perjalanan. – NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Seramai 11 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa hotel dan perjalanan bernilai RM2,254.65 pada 2018.

Semua tertuduh, termasuk empat wanita berusia antara 28 hingga 49 tahun yang bertugas di RISDA Kemaman mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka yang masing-masing berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berkait bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat RISDA Kemaman pada April 2018.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 seksyen sama.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Hayat Muhamad.

Sejurus pengakuan bersalah semua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan esok sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Mahkamah juga membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000 dengan seorang penjamin. */ Sumber : Berita Harian

error: ...