17 pekerja maut digilis ketika tidur atas rel kereta api

MAHARASHTRA: Sekurang-kurangnya 17 buruh asing maut digilis kereta api dalam satu kejadian di bandar Aurangabad di Maharashtra, India pada pagi Jumaat.

Menurut polis, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan.

Jurucakap landasan kereta api India (Zon Tengah Selatan) berkata kemalangan itu berlaku berhampiran Karmad, Aurangabad ketika sebuah kereta api dengan muatan minyak diesel dan petrol melalui rel tersebut.

Difahamkan kesemua pekerja asing itu tidur berehat di atas rel tersebut selepas penat berjalan kaki menuju ke wilayah asal mereka.

Menurut pegawai polis tempatan, kesemua mangsa merupakan pekerja di pelantar besi dekat kejiranan wilayah Jalna.

Mereka menuju ke negeri asal mereka di Madhya Pradesh selepas kerajaan India mengumumkan perintah ‘lockdown’ di negara itu pada 24 Mac lalu bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Dilaporkan, selepas kerajaan India mengumumkan perintah berkurung itu, berjuta-juta pekerja asing mula membuat perjalanan mereka untuk kembali ke wilayah asal mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengucapkan takziah buat kesemua mangsa kemalangan tersebut.

Sumber : Astro Awani

error: ...