20.5 juta penduduk AS hilang pekerjaan bulan lalu

Banyak perniagaan terpaksa ditutup menyebabkan pengangguran di AS meningkat – Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah kehilangan kerja terbesar dalam sejarah disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Ia berlaku ketika Eropah, yang berdepan peningkatan kematian akibat virus itu, bertindak untuk menutup sempadan selama sebulan lagi.

Harapan sedang meningkat bahawa situasi buruk bencana global yang telah meragut lebih 270,000 nyawa itu sudah berlalu dan AS pada Jumaat meluluskan ujian air liur di rumah untuk mempercepatkan diagnosis COVID-19.

Namun, selepas beberapa minggu sekatan daripada menjalankan kehidupan normal dikenakan, kesannya mula kelihatan, dengan ekonomi global mengalami penurunan paling mendadak dalam tempoh hampir seabad.

Di AS, sebanyak 20.5 juta pekerjaan hilang pada April, angka tertinggi pernah dilaporkan, dengan pengangguran meningkat kepada 14.7 peratus, paras tertinggi sejak ‘Great Depression’.

Ekonomi terbesar dunia itu paling teruk dilanda wabak maut itu, dengan 77,000 kematian dan hampir 1.3 juta kes.

Memandangkan pilihan raya akan diadakan November ini, Presiden Donald Trump bagaimanapun berikrar untuk membuka semula ekonomi dan beberapa Gabenor negeri sudah membenarkan perniagaan diteruskan dengan langkah berjaga-jaga.

Trump meredakan kebimbangan terhadap angka pengangguran, dengan berkata ia sudah dijangka, ketika Rumah Putih merujuk kepada kenaikan pasaran saham global sebagai bukti bahawa situasi akan menjadi lebih baik.

“Kita akan mempunyai tahun yang luar biasa tahun depan,” kata Trump kepada pemberita.

“Saya rasa ia akan pulih dengan menakjubkan.”

Keyakinannya disuarakan walaupun virus itu turut merebak di Rumah Putih, dengan Setiausaha Akhbar Naib Presiden, Mike Pence turut diuji positif.

Negara jiran, Kanada juga mencatatkan tiga juta kehilangan kerja, menjadikan kadar penganggurannya meningkat kepada 13.1 peratus, dua hari selepas Kesatuan Eropah (EU) mengunjurkan kemelesetan besar di pakatan ekonomi itu.

Dua daripada syarikat AS paling terkemuka, Google dan Facebook berkata, mereka akan membenarkan kakitangan bekerja secara maya sepanjang tahun ini.

-AFP / Berita Harian

error: ...