3 polis, 11 dalang seludup warga asing ditahan

Antara aset yang dirampas Polis Perak dipercayai digunakan dalam kegiatan menyeludup PATI. Gambar kecil ialah lelaki yang dicari polis untuk membantu siasatan kes berkenaan (dari kiri) Nan, Jali dan Chan atau Chandra – Foto NSTP/Ihsan PDRM

IPOH: Polis menahan tiga anggotanya yang dipercayai menjadi ejen sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata penahanan tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Hutan Melintang itu susulan tangkapan 11 anggota sindiket penyeludupan PATI dalam Op Benteng yang bermula pada 4 April lalu.

“Ketiga-tiga anggota polis yang berusia 30-an itu disyaki membantu sindiket penyeludupan migran berkenaan.

“Polis memberi amaran keras dan tindakan tegas akan diambil kepada semua pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelas suspek terbabit ditahan dalam beberapa siri operasi membabitkan enam lelaki tempatan, tiga lelaki warga Indonesia dan dua wanita Indonesia berusia antara 33 hingga 66 tahun.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah bot nelayan kelas C, sebuah bot laju, dua kereta dan 21 telefon bimbit pelbagai jenama yang digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Semua suspek direman selama 28 hari bermula 5 Jun lalu hingga 2 Julai ini mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)2012 (SOSMA).

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pendakwaan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan,” katanya.

Razarudin berkata, kegiatan penyeludupan itu dikesan aktif sejak 2014 dan polis sudah menumpaskan kumpulan berkenaan pada 2015 dengan mengenakan tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) terhadap sembilan ahli sindiket.

Bagaimanapun katanya, pada 2016 hingga 2017 kegiatan itu sudah dibendung sepenuhnya, namun sindiket berkenaan dikesan aktif kembali pada 2019 selepas semua tahanan POCA dibebaskan pada 2017.

“Siasatan mendapati sindiket itu memfokuskan kegiatan penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan di kawasan Hutan Melintang.

“Rangkaian sindiket terdiri daripada ejen yang menerima tempahan migran untuk pulang ke negara jiran, pengangkutan dengan menggunakan kereta persendirian serta teksi.

“Selain itu, (turut terbabit) ejen rumah tumpangan seperti inap desa, hotel bajet dan khemah di kawasan paya, pengawal atau jaga air dan pemilik bot serta ketua penyeludup di negara jiran,” katanya.

Berikutan itu, katanya, polis sedang mengesan tiga lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 30-an bagi membantu siasatan dikenali sebagai Nan dan Jali yang tinggal di Teluk Intan manakala seorang lagi, Chan atau Chandra yang beralamat di Blok 8, Flat Taman Alam Mega, Shah Alam, Selangor.

“Siasatan mengenal pasti beberapa ejen penyeludupan PATI yang masih bebas dan polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan mereka,” katanya. */ Sumber : Berita Harian

error: ...