48 individu keracunan makanan di T’ganu dipercayai akibat puding buih

Orang ramai juga perlu sentiasa peka tentang keselamatan makanan.

KUALA TERENGGANU: Sejumlah 48 individu yang mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas telah menerima rawatan sejak semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu, 20 orang telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Empat lagi pesakit dimasukkan ke hospital swasta manakala bakinya (24 pesakit) dirawat sebagai pesakit luar. Kebanyakan pesakit mengalami simptom yang sama iaitu sakit perut dan cirit-birit.

“Pihak jabatan masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini dan pesakit lain yang mungkin terdedah kepada risiko sama,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kes keracunan makanan yang mana pesakit dilaporkan membelinya secara dalam talian itu telah tular di media sosial semalam.

“Jabatan menerima notifikasi mengenai kes keracunan makanan itu bermula semalam dan setakat ini, kes yang direkodkan ialah 48 dari dua daerah iaitu Marang dan Kuala Terengganu.

“Kami berharap semua peniaga dan juga orang awam akan terus menitikberatkan tatacara keselamatan makanan terutama tahap kebersihan yang tinggi,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata makanan mesti dimakan dalam tempoh tidak lebih empat jam selepas penyediaan dan sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah dalam suhu yang sesuai serta dipanaskan terlebih dahulu bagi mengelak keracunan makanan.

“Orang ramai juga perlu sentiasa peka tentang keselamatan makanan dengan mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelak memakan makanan yang telah basi,” katanya.

— BERNAMA / Astro Awani

error: ...