Anak berkerjaya, baiki rumah ibu bapa minta bantuan kerajaan

Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis serahan Bantuan Zakat Bank Rakyat Kepada Asnaf di Hotel Sik Inn – Foto NSTP/Amran Hamid

ALOR SETAR: Sikap segelintir anak yang lepas tangan termasuk mengabaikan kebajikan ibu bapa di kampung tidak wajar lagi berlaku ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata mereka terbabit ada yang antaranya memiliki kerjaya stabil sebaliknya, menyerahkan urusan menjaga ibu bapa kepada kerajaan negeri dan pihak lain.

Katanya, ada penduduk warga emas terpaksa memohon bantuan kerajaan apabila mengalami masalah bumbung bocor, lantai reput dan kekurangan makanan sedangkan mempunyai anak yang bekerjaya.

“Saya menerima panggilan daripada anak yang bekerjaya meminta dibaiki rumah orang tua mereka di kampung, saya agak terkilan kerana kehidupan mereka agak baik tetapi serah (kebajikan) kehidupan ibu bapa kepada kerajaan.

“Bagi mereka yang tidak mampu saya faham, tetapi bagi yang mampu tidak wajar menyerahkan urusan kepada pihak lain, sekiranya ada kelebihan atau kesenangan bantulah orang tua, kerana ada sebilangan kes, ibu bapa datang kepada wakil rakyat minta dua keping atap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Zakat Bank Rakyat berjumlah RM97,000bagi program baiki rumah 11 asnaf di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.

Muhammad Sanusi berkata tindakan anak itu adalah amalan hidup yang tidak baik dalam masyarakat dan patut dijauhi malah mereka perlu insaf serta bersyukur dengan membalas jasa kedua ibu bapa.

Katanya, mereka tidak harus mengambil kesempatan daripada bantuan kerajaan kerana ada insan lain yang lebih memerlukan.

“Saya rasa mereka yang mahu buat macam ini perlu fikir semula kerana anak adalah harta ibu bapa, walaupun ibu bapa tiada harta tetapi ada anak yang bekerja dan senang.

“Anak yang berada di kota atau di mana saja ingatlah perkara ini dan sebagai Menteri Besar, saya rasa patut tegur dan nasihat mereka yang lalai dengan tanggungjawab,” katanya.

Sumber : Berita Harian

error: ...