AS dakwa China cuba godam pembangunan vaksinnya

Foto fail, Pengarah penemuan Antibodi dan pengembangan Vaksin, Dr. Nita Patel mengangkat botol dengan vaksin coronavirus, COVID-19 yang berpotensi di makmal Novavax di Rockville, Maryland pada Mac 2020, salah satu makmal mengembangkan vaksin untuk coronavirus, COVID-19. – Foto AFP

WASHINGTON: Pakar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Keselamatan Siber Amerika Syarikat (AS) mendakwa  penggodam dari China cuba mencuri data penyelidikan mengenai pembangunan vaksin COVID-19, lapor dua akhbar tempatannya, semalam.

Susulan itu, FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri akan mengeluarkan amaran dalam tempoh beberapa hari ini bagi melaporkan penggodaman maklumat dari negara itu di saat kerajaannya dan firma swasta berusaha keras membangunkan vaksin bagi mengubati virus itu, lapor Wall Street Journal dan New York Times.

Penggodam itu menyasarkan maklumat dan harta intelek mengenai rawatan dan ujian untuk COVID-19.

Pegawai AS mendakwa penggodam mempunyai kaitan dengan kerajaan China, kata laporan itu.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar Negeri Beijing, Zhao Lijian menolak dakwaan itu sambil menegaskan negaranya menentang keras semua bentuk serangan siber.

“Kami mendahului dunia dalam penyelidikan rawatan dan vaksin COVID-19. Ia sesuatu yang tidak bermoral untuk mengaitkan China, ia satu khabar angin dan fitnah jika tanpa sebarang bukti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan itu, Presiden As, Donald Trump belum mengesahkannya namun menyatakan, China tiada apa-apa perkembangan baharu.

“Apa yang terbaharu dengan China? Beritahu saya. Saya tidak senang hati dengannya.

“Kami akan akan memantau rapat mengenai hal ini,” jelasnya.

Amaran AS itu akan meningkatkan perhatian dan mengaitkan penggodaman itu didalangi penggodam dari Iran, Korea Utara, Russia dan China yang melakukan aktiviti jahat berkaitan wabak itu, dengan menyebarkan berita palsu hingga menyasarkan serangan siber terhadap pekerja dan pasukan penyelidik.

Sementara itu, The New York Times mengatakan melaporkan perkara itu boleh mencetuskan serangan balas daripada agensi rasmi AS terutama yang terbabit dalam perang siber, termasuk Komando Siber Pentagon dan Agensi Keselamatan Kebangsaan.

Minggu lalu, Britain dan AS dalam kenyataan bersama memberi amaran akan meningkatkan serangan siber terhadap agensi profesional kesihatan yang mempunyai kaitan dalam tindak balas coronavirus yang dilakukan penjenayah terancang ‘yang sering mempunyai kaitan dengan negara lain’.

Pusat Keselamatan Siber Nasional Britain dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur AS mendakwa mereka mengesan taktik ‘pencerobohan kata laluan’ atau ‘password spraying’ berskala besar di mana penggodam cuba mengakses akaun melalui kata laluan yang biasa digunakan bertujuan mencuri data badan kesihatan dan organisasi penyelidikan perubatan. AFP

Sumber : Berita Harian

error: ...