Batal perjanjian sewa PPR jika pasang jeriji

PENGHUNI Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didapati sengaja memasang jeriji besi di kaki lima laluan rumah masing-masing bakal berdepan tindakan tegas termasuk penamatan perjanjian penyewaan rumah.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Azmir Ahmad berkata, perkara itu termaktub di dalam Dokumen Perjanjian Penyewaan Rumah DBKL.

Menurutnya, DBKL memandang serius perbuatan berkenaan yang akan mendatangkan kesukaran kepada pelbagai pihak terutama anggota keselamatan seperti polis, bomba dan penguat kuasa DBKL sendiri sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, selain itu, ia juga akan menimbulkan kesukaran kepada agensi lain untuk menjalankan tugas termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengambil bacaan meter bulanan dan kakitangan DBKL untuk mengadakan bancian.

“Sikap segelintir penghuni yang mementingkan diri sendiri ini menggunakan alasan keselamatan rumah daripada dimasuki pencuri, keselamatan barangan yang diletakkan di kaki lima serta keselamatan anak-anak yang bermain waktu petang dan malam.

“Alasan ini tidak boleh diterima sama sekali kerana kaki lima adalah kawasan guna sama semua penghuni di kawasan itu dan bukan milik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Azmir berkata, ada juga penghuni yang meletakkan barangan di kaki lima rumah masing-masing sehingga menimbulkan kesukaran penghuni lain.

Katanya, antaranya termasuklah perabot, basikal, barangan lusuh dan terpakai dan pasu bunga malah ada yang membawa motosikal ke rumah di tingkat atas.

“DBKL memandang serius isu ini dan jika didapati ada penghuni pasang jeriji, DBKL akan menghantar notis amaran dan jika ingkar, kita akan menjalankan operasi bersepadu memotong jeriji besi yang menghalang laluan dan menyitanya,” katanya. */ Harian Metro

error: ...