Bayi tua

London: Usianya sudah menjangkau 19 tahun namun perangai dan tingkah laku seorang remaja perempuan di United Kingdom ini masih seperti bayi berusia 10 bulan.

Daisy Rainey yang menetap bersama keluarganya di Cardiff, mampu berjalan namun pemikiran gadis ini tidak seperti individu sebayanya.

Malah, remaja itu masih menghisap puting susu, memakai lampin pakai buang selain tidak pandai mengurus diri.

Dia juga perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga lain iaitu ibu, Annie, 53, bapa, Nick, 56, serta abangnya, Harvey, 22.

Annie berkata, kelakuan pelik anaknya itu masih menjadi misteri dan tidak dapat disahkan pakar, sehingga kini.

Katanya, Daisy juga berisiko mengalami sawan.

“Kami pernah menjalani ujian genetik tetapi Daisy tidak menunjukkan sepenuhnya kriteria bagi sindrom Retts. Pakar sebelum ini mengesyaki dia menghidap sindrom berkenaan.

“Suami saya selalu percaya apa pun jua penyakit dihidapinya, kami perlu menghadapinya terlebih dulu,” katanya seperti dipetik dalam portal Daily Mirror.

Dia turut berkongsi mengenai perkembangan luar biasa dan realiti membesarkan Daisy dalam buku berjudul Daisy Can’t Talk.

“Saya menulis buku itu kerana ingin memberitahu orang lain bagaimana membesarkan seseorang seperti Daisy selama hampir 20 tahun.

“Saya mahu berkongsi pengalaman dan bersama ibu lain yang anak mereka mempunyai sindrom sama, ” katanya.

Sementara itu, seorang ahli neurologi yang merawat Daisy sejak usianya empat tahun berkata, keadaan luar biasa itu tidak dapat dijelaskan sepenuhnya.

“Dia tidak memiliki diagnosis spesifik, tetapi kami tahu keadaan seperti ini wujud. Walaupun kita melakukan siasatan intensif, kita tidak akan dapat menemui jawapannya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dialami remaja itu adalah masalah pembelajaran dan ciri tertentu seperti sawan.

“Ia bukan satu sindrom. Tetapi meskipun pelbagai ujian dilakukan, kita masih tidak mengetahui punca kepada masalah yang dihadapi remaja ini,” katanya.

Sumber : MyMetro

error: ...