Benarkanlah kami ‘shooting’

PENERBIT Fadzil Teh memohon kerajaan membenarkan syarikat-syarikat produksi kembali menjalani penggambaran dengan bersyarat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Fadzil berkata, kerajaan boleh meletakkan beberapa syarat yang wajib dipatuhi bagi memastikan penggambaran berjalan dengan lancar dan tidak berisiko dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Fadzil yang juga pemilik syarikat produksi Zeel Production Sdn Bhd berkata, contoh peraturan yang boleh ditetapkan adalah dengan memastikan penggambaran tidak dijalankan di tempat tumpuan ramai.

“Mungkin boleh senaraikan beberapa peraturan contohnya tidak dibenarkan menjalankan penggambaran di tempat tumpuan orang ramai. Selain itu, pihak produksi juga mesti menepati syarat seperti kebersihan diri dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, ini adalah bagi membantu tenaga kerja belakang tabir yang hilang punca pendapatan sejak PKP dimulakan pada 18 Mac lalu.

“Kita faham mengenai tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan semua pihak. Namun, dari sudut lain, ramai tenaga kerja belakang tabir yang terjejas kehidupan mereka.

“Kebanyakannya bergantung kepada penggambaran. Kalau tidak ada ‘job’, maka tiadalah pendapatan buat mereka. Kalau boleh saya tak mahu anak-anak seni meminta bantuan kewangan daripada kerajaan. Jadi, kalau boleh, mungkin boleh diberikan sedikit kelonggaran buat syarikat produksi untuk kembali bekerja. Saya sendiri pun ada dua karya yang tergendala. Jadi, harapnya, semuanya dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, pengarah dan penerbit Tanah Beris Film Production Sdn Bhd, Shuhaimi Lua berkongsi pendapat sama dengan Fadzil.

“Saya berharap agar pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga dapat membantu melakukan sesuatu kerana mereka ada rekod mengenai syarikat produksi mana yang sedang menjalankan penggambaran.

“Rekod itu berdasarkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) yang mereka keluarkan kepada syarikat penggambaran. Jadi, saya harap, ada cadangan atau kelonggaran buat syarikat produksi untuk kembali bekerja,” katanya.

Menurut Shuhaimi, dia juga berkongsi mengenai syarat dan peraturan yang mungkin boleh ditetapkan kerajaan.

“Contohnya, setiap produksi perlu sediakan pembasmi kuman (sanitizer) di set penggambaran, perlu memakai topeng muka, pemeriksaan suhu badan kepada semua kru dan pelakon setiap kali masuk ke set, ada penjarakan sosial dan setiap kali penggambaran, jumlah kru terbabit tidak melebihi 30 orang,” katanya.

Satu lagi perkara yang menjadi kebimbangannya adalah wang pelabur yang melabur untuk sesuatu karya.

“Syarikat saya ada pelabur dari luar negara yang melabur dan itu sangat membimbangkan kerana wang yang dilaburkan bukanlah sedikit, tetapi mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. Apabila semuanya tergendala dalam satu tempoh yang lama, ada benda yang kita terpaksa guna untuk menampung produksi dan saya takut itu akan menimbulkan kerugian sedikit masa lagi,” katanya.

Sumber : MyMetro

error: ...