Bercakap dengan kuat juga boleh sebarkan virus & Dunia perlu 4 hingga 5 tahun sebelum COVID-19 dikawal

Wakil syarikat bus dari seluruh Amerika Syarikat melakukan protes di hadapan bangunan US Capitol, Washington, yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19.

WASHINGTON: Satu kajian penularan COVID-19 mendapati, titisan mikro melalui percakapan kuat dikesan mampu bertahan dalam udara lebih 10 minit di tempat tertutup, kerana virus berbahaya itu mudah tersebar.

Kajian dilakukan Institut Penyakit Diabetes, Penghadaman dan Buah Pinggang Kebangsaan (NIDDK) terhadap seorang individu yang menyebut perkataan ‘sentiasa sihat’ beberapa kali secara kuat selama 25 saat di dalam sebuah kotak yang tertutup.

Laser yang dipancarkan pada kotak itu membolehkan titisan itu dilihat dan dikira.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (PNAS) itu menunjukkan, ia secara purata mampu bertahan di udara sekitar 12 minit.

Saintis menjangka setiap minit jika bercakap dengan kuat, ia boleh menghasilkan lebih 1,000 titisan air liur yang mengandungi virus dan mampu kekal dalam ruang udara selama lapan minit atau lebih di ruang tertutup.

“Visual yang dilakukan itu menunjukkan bagaimana percakapan normal mampu menghasilkan titisan di ruang udara yang mampu bertahan 10 minit atau lebih dan berpotensi menyebarkan penyakit,” rumusan pengkaji berkenaan.

Pasukan yang sama pada April lalu menyatakan, bercakap tidak terlalu kuat menghasilkan titisan yang sedikit seperti yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England.

Jika tahap jangkitan COVID-19 melalui percakapan disahkan, ia memastikan seruan saintis supaya banyak lagi negara membuat pemakaian topeng muka sekali gus membantu mengurangkan penyebaran yang pantas. – AFP / Berita Harian

Dunia perlu 4 hingga 5 tahun sebelum COVID-19 dikawal – Ketua Saintis WHO

TEMPOH masa selama empat hingga lima tahun diperlukan dalam usaha dunia mengawal COVID-19 dengan efektif, menurut Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Soumya Swaminathan berkata, terdapat pelbagai faktor yang akan menentukan berapa lama dan sejauh mana virus itu akan kekal sebagai ancaman, termasuk sama ada ia akan bermutasi atau tidak.

“Saya boleh katakan dalam tempoh masa empat ke lima tahun, mungkin kita dapat mengawal pandemik ini,” katanya sambil memberi amaran bahawa pandemik ini mungkin akan bertambah buruk ketika bercakap dalam persidangan digital Global Boardrooms anjuran Financial Times, pada Rabu.

Ujar beliau, vaksin merupakan cara terbaik untuk mengatasinya, namun masih banyak lagi ketidaktentuan mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin itu, serta penghasilan dan pengedaran yang sama rata.

Tambahnya, vaksin juga boleh hilang keberkesanannya sekiranya virus itu bermutasi.

Profesor Kesihatan Global di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Peter Piot, turut bersetuju bahawa pengawalan virus akan bergantung kepada pembangunan vaksin yang efektif.

Namun, beliau memberi amaran bahawa penghapusan virus itu secara berkesan akan memerlukan lebih banyak usaha dan kaedah.

“Hanya cacar air (smallpox) yang dapat dihapuskan dan dibasmikan sebagai penyakit,” kata Piot yang turut dijangkiti COVID-19 dan dalam fasa pemulihan.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh hanya memikirkan strategi jangka pendek untuk bulan-bulan akan datang sahaja, sebaliknya dalam jangka masa panjang.

Ujarnya, apabila dunia masuk ke fasa seterusnya dalam mendepani pandemik ini, tiada lagi pilihan selain untuk melabur lebih banyak dalam menjalankan ujian. !~ Astro Awani

error: ...