Berikut 10 pemilik kelab terkaya EPL miliki kekayaan RM1.74 trilion

LONDON: Supremo Arab Saudi, Mohammed Bin Salman yang dijangka menjadi pemilik Newcastle United yang baharu bakal muncul sebagai pemilik pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) terkaya selepas urusan pengambilalihan selesai.

Rundingan bernilai 300 juta pound (RM1.63 billion) itu semakin hampir dimuktamadkan selepas Dana Pelaburan Awam Arab Saudi itu sudah membayar deposit kepada pemilik pasukan, Mike Ashley.

Rakan perniagaan rapat Mohammed iaitu Yasir Al-Rumayyan akan menjadi pengerusi baharu dengan dia turut menyambut baik pengambilalihan Magpies itu.

Dengan pengambilalihan terbabit, konsortium Saudi itu akan memegang 80 peratus saham dalam pasukan itu dan baki 20 peratus dibahagikan sama rata antara Amanda Staveley dan Reuben Bersaudara.

Berikut 10 pemilik kelab terkaya EPL:

1. Newcastle

Newcastle akan disokong oleh Mohammed bin Salman. – Foto Getty Image

Mohammed Bin Salman/Dana Pelaburan Awam Arab Saudi – nilai kekayaan 320 bilion pound (RM1.74 trilion)

Selepas Mike Ashley menerajui pasukan itu selama 13 tahun, Newcastle kini bakal dimiliki oleh Arab Saudi. Ini berikutan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi membuat pelaburan mewakili kerajaan negara itu. Newcastle mungkin akan menjadi tumpuan dalam urusan pembelian pemain selepas era Ashley apatah lagi dengan mengambil kira kekayaan yang dimiliki negara Teluk itu. Dipengerusikan oleh Mohammad bin Salman yang penuh kontroversi serta ditadbir Yasir Al-Rumayyan, St James Park bakal diuruskan oleh antara individu yang paling berkuasa di dunia. Namun meskipun pembelian mega tampak mengujakan namun penyokong masih tidak selesa dengan rekod hak asasi manusia yang kurang menyenangkan di negara itu.

2. Manchester City

Sheikh Mansour telah mengubah Manchester City.

Sheikh Mansour / Abu Dhabi Group – nilai kekayaan23.3 bilion pound (RM125 bilion)

Sheikh Mansour membeli City pada September 2008 sekali gus menjadikan mereka sebagai gergasi bola sepak dunia. Mansour adalah Timbalan Perdana menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan ahli kerabat diraja Abu Dhabi. Dia turut memiliki beberapa pasukan lain seperti New York City FC, Melbourne City FC dan Yokohama F Marinos menerusi Kumpulan City. Pengurusan kelab diserahkan kepada ‘orang kanannya’, Khaldoon Al Mubarak.

3. Chelsea

Abramovich pernah menjadi pemilik terkaya liga.

Roman Abramovich – nilai kekayaan: 9.2 bilion pound (RM50.28 bilion).

Abrahmovich membeli Chelsea daripada Ken Bates dengan harga 140 juta pound (RM764 juta) dan dia berjaya membawa The Blues menamatkan penantian 50 tahun bagi bergelar juara EPL pada musim 2004/2005. Sejak itu, The Blues turut merangkul tiga lagi gelaran liga, lima kali menjuarai Piala FA dan muncul juara saingan Eropah

4. Arsenal

Kroenke berkahwin dengan pewaris Walmart Ann Walton pada tahun 1974. – Foto Getty Image

Stan Kroenke – nilai kekayaan: 8 bilion pound (RM43.72 bilion)

Walaupun kaya namun dia sering dikecam kerana sikapnya yang kedekut untuk berbelanja setiap kali pintu perpindahan pemain dibuka. Berbanding pencabarnya, Kroenke didakwa tidak memberi keutamaan berhubung pembelian pemain yang akan dibawa masuk ke Emirates sekali gus mengundang kekecewaan peminat The Gunners.

5. Aston Villa

Nassef Sawiris (kiri) membeli kelab Villa dari bekas pemilik Tony Xia. – Foto Aston Villa

Nassef Sawiris dan Wes Edens – nilai kekayaan: 6.6 bilion (RM36 bilion)

Pasangan itu membeli majoriti saham di Villa pada 2018. Nassef berada di kedudukan ke-252 sebagai lelaki terkaya di dunia dan sebahagian daripada keluarga terkaya di Mesir. Eden pula ahli perniagaan yang pakar dalam pengurusan dana perlindungan. Selain Villa, dia juga pemilik bersama kelab NBA, Milwaukee Bucks.

6. Wolves

Guo Guangchang adalah ketua Fosun International.

Fosun International/Guo Guangchang – nilai kekayaan: 5.4 bilion (RM29.50 bilion)

Guangchang berada di kedudukan ke-50 sebagai lelaki terkaya di China. Dia mengetuai kumpulan pelaburan Fosun yang membeli kelab Liga Kejuaraan, Wolves dengan harga 45 juta pound (RM245.78 juta) tiga tahun lalu. Sejak itu, Wolves berjaya melayakkan diri beraksi dalam saingan EPL, menamatkan aksi di tangga ketujuh selain kali pertama membuat penampilan di pentas Eropah dalam tempoh 39 tahun.

7. Leicester

Srivaddhanaprabha mewarisi Fox dari arwah bapanya. – Foto Getty Image

Aiyawatt Srivaddhanaprabha – nilai kekayaan: 4.6 bilion (RM25 bilion)

Ahli perniagaan dari Thailand itu mengambil alih pemilik Leicester selepas bapanya, Vichai meninggal dunia selepas helikopter yang dinaikinya terhempas pada 2018. Sebelum itu, Vichai yang membeli Leicester pada 2011 mencipta kisah dongeng apabila berjaya muncul juara EPL buat kali pertama pada musim 2015/2016.

8. Tottenham Hotspur

Lewis jarang dilihat di White Hart Lane, menyerahkan urusan sehari-hari kepada Daniel Levy.

Joe Lewis – nilai kekayaan: 3.9 bilion (RM21.29 bilion)

Mungkin Daniel Levy lebih mendapat perhatian sebagai pengerusi Spurs tetapi hakikatnya Lewis pemegang saham terbesar dalam kelab itu dan mengawal setiap keputusan yang dibuat. Lewis adalah pelabur utama di Tavistock Group dan baru-baru ini dia dikecam hebat selepas meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan oleh kerajaan.

9. Manchester United

Joel dan Avram Glazer telah mengusahakan The Red Devils sejak ayah mereka menderita sakit pada tahun 2006.

Keluarga Glazer – nilai kekayaan: 3.6 bilion (RM19.67 bilion)

Ia sesuatu mengejutkan apabila pemilik United hanya berada di kedudukan kesembilan dengan status mereka sebagai kelab gergasi di dunia. Keluarga Glazer mengambil alih United pada 2005 tetapi kehadiran mereka disambut dingin penyokong setia The Red Devils. Penyokong sehingga kini masih mendesak keluarga itu menjual saham mereka kepada individu lain.

10. Southampton

Gao Jisheng adalah jutawan Cina. – Foto AFP

Gao Jisheng – nilai kekayaan: 3.1 bilion (RM16.9 bilion)

Taikun perniagaan China itu membeli Southampton dengan harga 210 juta pound (RM1.14 bilion) tiga tahun lalu. Bagaimanapun, sejak dia mengambil alih, Southampton bergelut dengan prestasi tidak menentu dan sering berada di zon penyingkiran. – Agensi

Sumber : Berita Harian

error: ...