Bimbang cetus jangkitan, lelaki jalan kaki dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu 110 kilometer

Alixson Mangundok dan anjingnya Hachiko yang baru tiba di kebun bapanya di Kota Marudu – NSTP/Ihsan Alixson Mangundok
KOTA KINABALU: Seorang lelaki nekad berjalan kaki sejauh lebih 110 kilometer dari bandar raya ini untuk pulang ke Kota Marudu sejurus tiba dari Jepun, kerana khuatir mencetuskan jangkitan jika menaiki kenderaan atau pengangkutan awam. Sepanjang tempoh tiga berjalan kaki itu, anak jati Kampung Mangaris 2 Kota Marudu, Alixson Mangundok, ditemani seekor anjing yang mengekorinya di jalanan. Alixson, 34, berkata dia mengambil keputusan berjalan kaki pulang kerana belum mengetahui keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalaninya sejurus tiba dari Jepun pada 25 Mac lalu. “Sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu dari Jepun, saya terus ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk menjalani pemeriksaan saringan COVID-19, walaupun tidak mempunyai sebarang simptom. “Berikutan keputusan ujian yang belum diketahui, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak bercampur orang ramai bagi mengelak mencetuskan sebarang jangkitan jika keputusan ujian positif kelak. “Kebimbangan itu membuatkan saya menolak menaiki kenderaan abang yang datang menjemput di lapangan terbang atau pengangkutan awam. “Saya membuat keputusan pulang ke kampung secara berjalan kaki mulai petang 26 Mac lalu dan sampai di Kota Marudu pada 28 Mac,” katanya ketika dihubungi BH. Alixson berkata, ketika berjalan pulang, beliau bertembung seekor anjing di jalanan yang kelihatan jinak mengekorinya hingga diberi nama Cico. Katanya, sepanjang perjalanan itu dia singgah tidur di beberapa hentian bas yang kosong sambil ditemani anjing berkenaan. “Apabila tiba di kampung, dia mengasingkan diri dengan tinggal dalam pondok di kebun keluarganya sehingga memperoleh keputusan ujian saringan yang dilakukan sebelum ini,” katanya. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu sejauh lebih 110 kilometer itu. biasanya mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan kenderaan. Alixson mengakui, pengalaman berjalan kaki ketika merantau di luar negara sebelum ini membuatkan usahanya berjalan pulang itu tidak berdepan masalah. “Saya sudah biasa merantau ke beberapa negara, jadi berjalan kaki dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu itu bukannya satu perkara besar. “Bagaimanapun, paling saya tidak boleh lupakan apabila saya berjalan kaki ketika melalui perkuburan di kawasan Luyang pada waktu malam. “Ketika itu, saya bertembung anjing yang saya namakan sebagai Cico yang mengekori hingga sampai ke Kota Marudu. “Jika tidak bersama anjing itu, mungkin orang sekeliling menganggap saya penjahat pada waktu malam,” katanya. Beliau berkata, setakat ini beliau masih kuarantin diri dalam pondok kebun keluarganya. “Semalam saya menjalani pemeriksaan saringan kali kedua di Hospital Kota Marudu, selepas ujian kali pertama yang dibuat di Kota Kinabalu belum diperoleh,” katanya. Sumber : Berita Harian
error: ...