BOLEHKAH MANUSIA DILARIKAN JIN ?

SOALAN :

Saya ada mendengar dalam satu kuliyah ustaz dimana ustaz ada cerita pasal lelaki di zaman sahabat dilarikan oleh puak jin tetapi ustaz cerita tidak habis.

Bolehkah ustaz ceritakan semula kisah tersebut?

JAWAPAN :

Al-Imam Al-Baihaqi telah meriwayatkan kisah ini di dalam Kitab Sunan Al-Kubra dengan katanya :

أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ، وَأَبُو مُحَمَّدٍ عُبَيْدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ مَهْدِيٍّ لَفْظًا، قَالا: نا أَبُو الْعَبَّاسِ مُحَمَّدُ بْنُ يَعْقُوبَ، نا يَحْيَى بْنُ أَبِي طَالِبٍ، أنا عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ عَطَاءٍ، نا سَعِيدٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، ” أَنَّ رَجُلا مِنْ قَوْمِهِ مِنَ الأَنْصَارِ خَرَجَ يُصَلِّي مَعَ قَوْمِهِ الْعِشَاءَ فَسَبَتْهُ الْجِنُّ فَفُقِدَ، فَانْطَلَقَتِ امْرَأَتُهُ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَصَّتْ عَلَيْهِ الْقِصَّةَ فَسَأَلَ عَنْهُ عُمَرُ قَوْمَهُ، فَقَالُوا: نَعَمْ، خَرَجَ يُصَلِّي الْعِشَاءَ فَفُقِدَ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَرَبَّصَ أَرْبَعَ سِنِينَ، فَلَمَّا مَضَتِ الأَرْبَعُ سِنِينَ أَتَتْهُ فَأَخْبَرَتْهُ فَسَأَلَ قَوْمَهَا، فَقَالُوا: نَعَمْ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَتَزَوَّجَ فَتَزَوَّجَتْ فَجَاءَ زَوْجُهَا يُخَاصِمُ فِي ذَلِكَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: يَغِيبُ أَحَدُكُمُ الزَّمَانَ الطَّوِيلَ لا يَعْلَمُ أَهْلُهُ حَيَاتَهُ، فَقَالَ لَهُ: إِنَّ لِي عُذْرًا يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، قَالَ: وَمَا عُذْرُكَ؟ قَالَ: خَرَجْتُ أُصَلِّي الْعِشَاءَ فَسَبَتْنِي الْجِنُّ فَلَبِثْتُ فِيهِمْ زَمَانًا طَوِيلا فَغَزَاهُمْ جِنٌّ مُؤْمِنُونَ، أَوْ قَالَ: مُسْلِمُونَ، شَكَّ سَعِيدٌ فَقَاتَلُوهُمْ فَظَهَرُوا عَلَيْهِمْ فَسَبَوْا مِنْهُمْ سَبَايَا فَسَبَوْنِي فِيمَا سَبَوْا مِنْهُمْ، فَقَالُوا: نَرَاكَ رَجُلا مُسْلِمًا وَلا يَحِلُّ لَنَا سَبْيُكَ فَخَيَّرُونِي بَيْنَ الْمُقَامِ وَبَيْنَ الْقُفُولِ إِلَى أَهْلِي فَاخْتَرْتُ الْقُفُولَ إِلَى أَهْلِي فَأَقْبَلُوا مَعِي أَمَّا بِاللَّيْلِ فَلَيْسَ يُحَدِّثُونِي وَأَمَّا بِالنَّهَارِ فَعِصَارُ رِيحٍ أَتْبَعُهَا، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: فَمَا كَانَ طَعَامُكَ فِيهِمْ؟ قَالَ: الْفُولُ وَمَا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ، قَالَ: فَمَا كَانَ شَرَابُكَ فِيهِمْ؟ قَالَ: الْجَدَفُ، قَالَ قَتَادَةُ: وَالْجَدَفُ مَا لا يُخَمَّرُ مِنَ الشَّرَابِ، قَالَ: فَخَيَّرَهُ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَيْنَ الصَّدَاقِ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ

Artinya : “Telah mengkhabarkan akan kami oleh Abu Abdillah Al-Hafiz dan Abu Muhammad ‘Ubaid bin Muhammad bin Muhammad bin Mahdi secara lafaz keduanya berkata Abul ‘Abbas Muhammad bin Ya’qub telah mengkhabari akan kami Yahya bin Abi Talib telah mengkhabari akan kami Abdul Wahhab bin ‘Atha’ telah memberitakan akan kami Sa’id telah mengkhabari akan kami dari pada Qatadah daripada Abu Nadhrah daripada Abdurrahman bin Abi Laila :

“Sungguhnya ada seorang lelaki dari kalangan kaumnya yaitu kaum Ansar yang keluar untuk solat bersama kaumnya akan solat isyak. Tiba-tiba datang jin menangkap lelaki tersebut dan hilanglah ia. Lalu pergilah isterinya berjumpa dengan Umar bin Al-Khattab r.a. dan menceritakan kisah yang telah berlaku atas suaminya itu dan meminta Umar menjelaskan hukum berkait suaminya itu.

Maka Umar pun bertanya kepada kaumnya lalu kaumnya berkata : Benar. Dia telah hilang ketika keluar untuk solat isyak. Maka Umar memerintahkan isterinya beriddah selama empat tahun. Maka apabila telah berlalu masa empat tahu maka isterinya itu pun datang pula memberitahu kepada Umar.

Kemudian Umar bertanyakan kaumnya adakah benar sudah berlalu empat tahun dan suaminya tidak pulang. Kaumnya membenarkannya lalu Umar membenarkan isterinya bernikah.

Maka selepas kejadian itu suaminya telah kembali (dan mendapat tahu isterinya telah bernikah lain dengan kebenaran Umar) lalu dia pergi kepada Umar untuk membuat bantahan.

Lalu Umar berkata : Salah seorang kamu menghilangkan diri pada masa yang sangat lama sehingga keluarga sendiri pun tidak mengetahui hidup atau matinya.

Kata suaminya : Aku mempunyai uzur wahai Amirul Mukminin.

Kata Umar : Apakah uzur kamu?

Jawab suaminya : Suatu malam aku keluar hendak menunaikan solat isyak tiba-tiba datang jin menangkapku dan aku tinggal dengan puak jin dalam masa yang sangat lama. Kemudian datang puak jin Islam dan memerangi puak jin yang menangkapku dan puak jin Islam telah memenangi peperangan dan mendapat beberapa tawanan yang ditangkap dan aku termasuk salah seorang yang ditawan itu.

Berkata jin Islam : Kami dapati kamu seorang Islam yang baik dan tidak halal bagi kami menawan kamu. Kemudian puak jin Islam itu memberi pilihan kepadaku antara terus tinggal bersama mereka atau kembali kepada keluargaku. Aku memilih untuk kembali kepada keluargaku. Mereka pun membebaskan aku dan pada malamnya mereka tidak lagi bercakap denganku. Ada pun pada siangnya datang angin yang menjadikan aku mengikutinya.

Kemudian Umar berkata kepadanya : Apakah makanan kamu ketika tinggal dengan mereka?

Jawabnya : Sejenis kacang dan benda yang tidak disebut nama Allah padanya.

Tanya Umar lagi : Apa pula yang menjadi minuman kamu?
Jawabnya : Al-Jazfu.

Berkata Qatadah : Al-Jazfu ialah minuman yang tidak ditutup (dibiarkan terbuka).

Lalu Umar menjatuhkan hukum yaitu memberinya pilihan samada menerima maskahwinya semula atau isterinya kembali.”

Hadith Riwayat Imam Al-Baihaqi pada Kitab Sunan Al-Kubra.

KESIMPULAN :

Manusia boleh ditangkap dan dilarikan oleh jin dengan izin Allah.

Makanan yang tidak disebut nama Allah ketika memakannya menjadi makanan kesukaan jin.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan Nabi saw bersabda :

فَفِيْمَ رِزْقِيْ؟ قَالَ : فِيْما لَمْ يُذْكَرْ اسْمِيْ عَلَيْهِ

Artinya : “Jin bertanya kepada Allah apakah makanan aku? Jawab Allah : Pada apa yang tidak disebut nama Ku atasnya.”

Jika meninggalkan air minuman atau bekas air maka sunat ditutup kerana air yang tidak ditutup menjadi minuman kegemaran jin.

Imam Muslim meriwayatkan sabda Nabi saw :

فإن الشيطان لا يحل سقاء، ولا يكشف إناء.

Artinya : “Maka sungguhnya jin tidak dapat membuka penutup bekas minuman dan air yang ditutup.”

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Sumber : Ustaz Azhar Idrus (Original)

error: ...