COVID-19 : 11,166 pelajar tahfiz perlu jalani saringan

Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE) mengiringi beberapa individu di Taman Nusari Aman Sendayan untuk menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Seremban, minggu lalu. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 11,166 pelajar tahfiz dari 220 madrasah seluruh negara perlu menjalani ujian saringan COVID-19, berikutan masih ada pertambahan kes direkod membabitkan kluster berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini, sebanyak 4,052 sampel sudah diambil dan kes positif direkodkan adalah 325 kes, iaitu lapan peratus daripada keseluruhan sampel diambil.

“Kementerian Kesihatan sudah mengenal pasti 11,166 pelajar dari 220 madrasah ini,” katanya pada sidang medianya, hari ini.

Bagi Kluster Masjid Seri Petaling, katanya seramai 26,522 individu disaring dan kes positif adalah 1,950.

Seramai 23,105 negatif. Kes positif induk adalah 767 selebihnya kes dari generasi pertama hingga lima.

Berkaitan perkembangan kes positif baru membabitkan kluster lain pula, beliau berkata selain pelajar Magetan, empat lagi kluster menyaksikan pertambahan kes, selebihnya kekal.

“Kluster PUI (individu disyaki) Bali ada pertambahan empat kes menjadikan 37 kes. Kluster petugas kesihatan Kuching menjadi 37 kes iaitu tambah tiga kes.

“Kluster Plaza Menara One City tambah satu kes menjadikan 40 kes dan kluster Kejuruteraan Pahang tambah satu kes menjadikan jumlah keseluruhan 58 kes,” katanya.

Mengenai kes positif COVID-19 membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, Dr Noor Hisham menjelaskan mereka ditempatkan di pusat kuarantin berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, setakat ini 89 pusat kuarantin sudah dibuka bagi menempatkan mereka di sana membabitkan 11,725 individu.

“Sebanyak 8,410 sampel sudah diambil dan yang positif 65 kes,” katanya.

Sumber : Berita Harian

error: ...