COVID-19: Brazil catat lebih 1,000 kem@tian sehari

RIO DE JANEIRO: Brazil merekodkan 1,179 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, kata kementerian kesihatan semalam, iaitu jumlah terburuk di negara Amerika Latin itu.

Jumlah kematian keseluruhan di Brazil ketika ini ialah 17,791 dan ini adalah kali pertama kematian harian negara berkenaan melepasi angka 1,000.

Angka jangkitan terbaru dalam tempoh 24 jam pula ialah 17,408, menjadikan keseluruhan kes di Brazil sebanyak 271,628.

Jika trend peningkatan itu berterusan buat beberapa hari, Brazil akan berdepan peningkatan penularan pandemik.

Menurut pakar, waktu puncak pandemik itu dijangka hanya akan berlaku awal Jun nanti.

Pakar kesihatan awam juga berkata, angka diberikan kerajaan juga berkemungkinan jauh lebih rendah berbanding jumlah sebenar kematian dan jangkitan, kerana negara itu hanya menjalankan saringan pada skala kecil.

Semalam, kedudukan Brazil melonjak dari tangga keenam kepada tempat ketiga untuk jumlah jangkitan tertinggi dunia, di belakang Amerika Syarikat dan Russia.

Presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro kini terjebak dengan konflik bersama sebahagian besar daripada keseluruhan 27 gabenor kerana memandang remeh pandemik berkenaan, dan mendesak perintah berkurung segera ditamatkan, untuk memulihkan semula kedudukan ekonomi negara itu. – AFP / Berita Harian

error: ...