COVID-19: Hotel mewah India tukar kolam renang jadi ladang ikan

Seorang pekerja kelihatan sedang mengepam air ke dalam kolam renang yang dijadikan ladang ikan di Aveda Resort di Kumarakom, Kerala. Foto AFP

KOCHI: Sebuah pusat peranginan mewah di selatan India menukar kolam renangnya menjadi ladang ikan bagi menyelamatkan perniagaannya susulan krisis ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19.

Kebiasaannya, kolam renang berkeluasan 150 meter di Aveda Resort, Kerala itu dipenuhi pelancong Eropah, namun kini ia dibanjiri ribuan ikan pearl spot.

Kompleks itu terpaksa ditutup pada Mac lalu selepas perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara itu, dan hanya beberapa hotel dibenarkan kembali beroperasi sejak itu.

Bagi hotel yang masih ditutup, tidak banyak yang memiliki fasiliti kolam renang dengan 7.5 liter air, yang boleh digunakan sebagai alternatif lain.

“Kami tiada sebarang pendapatan, jadi bermula Jun lalu, kami memasukkan 16,000 ikan pearl spot berusia dua bulan ke dalam kolam,” kata Pengurus Besar Aveda, Jyotish Surendran kepada AFP.

Ikan itu yang mengambil tempoh kira-kira lapan bulan untuk membesar, adalah sajian popular di selatan India dan Asia Barat.

“Kami merancang untuk mendapatkan hasil menjelang November depan dan akan mengeksportnya ke Asia Barat,” kata Surendran, yang menjangkakan kira-kira empat tan ikan yang dibela dalam kolam renang itu bernilai AS$40,000 (RM167,020) di pasaran.

Bagaimanapun, katanya, ladang ikan sementara itu tidak mampu menampung kerugian akibat pandemik itu, yang menyebabkan banyak hotel gulung tikar.

Namun, Surendran berharap pendapatan daripada penjualan ikan itu dapat menampung kos bil asas, bagi membolehkan perniagaannya terus berjalan sehingga pelancong kembali.

Pusat peranginan itu turut berhasrat meneruskan ladang ikan pearl spot itu walaupun selepas operasi hotel itu kembali pulih.

“Kami tidak akan teruskan ladang ikan ini dalam kolam renang, namun sedang mencari kawasan alternatif untuk menggunakan apa yang kami belajar ketika ini untuk projek yang lebih besar,” katanya. – AFP */ Sumber : Berita Harian

error: ...