Covid-19: Korea Selatan siap sedia hadapi gelombang kedua

GLOBAL | Jumlah kes baru Covid-19 di Korea Selatan meningkat dengan ketara pada Selasa apabila jangkitan membabitkan kluster gereja di Seoul tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan, mendorong kerajaan mempertimbangkan langkah pencegahan lebih ketat di bandar raya itu.

Negara itu menambah 246 lagi kes Covid-19, termasuk 235 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes menjadi 15,761, lapor agensi berita Yonhap menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

Kes berada pada angka tiga digit untuk hari kelima berturut-turut, berikutan 166 lagi jangkitan pada Sabtu dan 103 Jumaat.

Pada Ahad, Korea Selatan melaporkan 279 jangkitan baru, pertama kali sejak awal Mac, angka itu melepasi 200 dan sebanyak 197 pada Isnin.

Korea Selatan menyaksikan pertambahan hampir 1,000 kes dalam tempoh lima hari kebelakangan ini.

Negara itu sebelum ini belum pernah melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat, berusaha untuk mengekang penularan virus dan pada masa sama mengekalkan kebanyakan aktiviti harian serta perniagaan.

Pihak berkuasa kesihatan memutuskan untuk meningkatkan tahap penjarakan sosial di Seoul dan kawasan berdekatan kepada Tahap Dua selama dua minggu bermula Ahad.

Sumber : Bernama / Malaysiakini

Ziarah pesakit di hospital mungkin cetus Kluster Sala

Peniaga buah-buahan Husniyah Muhammad, 52, menyusun buah-buahan di gerai mereka ketika tinjauan di sekitar Pekan Guar Chempedak, Yan. Pelanggan agak berkurangan selepas wujud kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sala yang dikesan di Yan. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menziarahi pesakit di hospital dipercayai menjadi punca merebaknya jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit daripada Kluster Sala di Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, walaupun punca jangkitan Kluster Sala masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan (KKM), namun kes indeks untuk kluster itu mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga.

“Walaupun tiada kes positif COVID-19 dikesan daripada saringan di hospital itu, namun kesemua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit terbabit didapati positif.

“Jangkitan COVID-19 seterusnya merebak kepada kontak-kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihaknya khuatir amalan melawat pesakit di hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat dua lagi kes jangkitan COVID-19 membabitkan Kluster Sala dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan lapan pesakit daripada kluster itu dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, punca jangkitan membabitkan pesakit daripada satu lagi kluster di Kedah iaitu Kluster Tawar juga masih dalam siasatan namun ia dipercayai berpunca daripada perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

“Misalnya kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat di antara satu sama lain.

“Ini membantu penularan yang meluas dalam kluster ini, meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” kata beliau.

Untuk Kluster Tawar, terdapat pertambahan satu kes, hari ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster itu sebanyak 47 kes.

“Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 1,490 orang sudah disaring dalam kluster berkenaan membabitkan 1,195 individu di Kedah (40 kes dikesan positif, 858 negatif dan 297 menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang, seramai 286 individu disaring dengan tujuh didapati positif, 216 lagi negatif dan 63 masih menunggu keputusan, manakala di Perak, seramai sembilan orang disaring dan kesemuanya negatif,” kata Noor Hisham.

Untuk Kluster Sala pula, katanya seramai 635 individu sudah disaring di dua negeri iaitu di Kedah membabitkan 629 individu dengan lapan didapati positif, 479 negatif dan 142 lagi masih menunggu keputusan.

Dalam enam saringan yang dijalankan di Pulau Pinang, tiada kes positif dicatat dengan empat disahkan negatif dan dua masih menunggu keputusan.

Menurut Noor Hisham, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan.

Sumber : Berita Harian

error: ...