COVID-19 Malaysia mungkin terpaksa ‘berperang’ sehingga tahun

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Malaysia mungkin terpaksa ‘berperang’ sehingga tahun depan dalam menentang penularan wabak COVID-19 seperti yang dijangkakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata apa yang perlu difikirkan ialah perancangan strategi yang boleh diguna dan diamalkan sehingga tahun depan berikutan belum ada vaksin boleh melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.

Apa yang penting ketika kini, katanya, ialah negara dapat mengurangkan bilangan kes jangkitan walaupun belum dapat menamatkan episod jangkitan COVID-19.

“Selain menjalankan ujian terhadap antibodi seperti dicadangkan pakar untuk komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kewujudan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dalam komuniti yang menentukan kewujudan virus itu.

“Tetapi sekarang kita lihat kes ILI dan SARI semakin berkurangan. Kalau berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan bagi masa depan.

“Apa yang kita dapat lihat daripada kes yang sedang dikaji ialah bagaimana kita dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Mungkin kena lihat aktiviti kita berbeza, kelaziman kita juga berbeza selagi kita tidak ada vaksin,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun sudah ada penurunan jumlah pesakit disahkan positif COVID-19 sejak dua minggu kebelakangan ini, pihaknya mahu melihat statistik itu berkurangan menjadi satu angka.

Untuk membolehkan itu berlaku, katanya, semua pihak perlu bekerjasama dan memastikan orang awam terus tinggal di rumah.

Beliau berkata, jika PKP yang dijadualkan berakhir pada 28 April ini ditamatkan, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus berada di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan berbuat demikian.

“Kita sedang melihat cara untuk mengurangkan impak selepas PKP ditamatkan supaya semua pihak boleh kembali kepada apa yang dikatakan sebagai kelaziman baharu.

“Ia mungkin mengambil sedikit masa, mungkin tiga bulan, mungkin enam bukan. Dasar kita mesti berubah dari segi tiada perhimpunan awam, penjarakan sosial mesti diamalkan dan sentiasa mengingatkan orang awam untuk mencuci tangan dan yang penting sekali jika tiada hal di luar, duduk di rumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kajian mencari sesuatu vaksin selalunya mengambil masa antara setahun sehingga setahun setengah sebelum memasuki pasaran.

Pihaknya berharap vaksin untuk COVID-19 dapat ditemui dalam masa terdekat.

“Selagi tak ada vaksin, kita kena gunakan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan.

“Pencegahan itu ialah cara kelaziman kita hidup, tingkah laku kita kena berubah,” katanya. ~ Berita Harian Online

KKM: Pelan penamatan PKP perlu secara ‘bertahap’ ke arah ‘kebiasaan baru’

Pelan penamatan perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dilakukan secara bertahap – atau soft landing – agar Malaysia dapat memulakan “kebiasaan baru” dan pada masa sama terus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Tentunya kita sedang melihat kepada strategi keluar (daripada PKP), kita sedang merancangnya dan melihat bagaimana kita dapat memperbaiki situasi.

“Jadi apabila kita bermula (penamatan PKP), ia mesti secara soft landing dari segi melihat kepada dua minggu seterusnya, dan kemudian dua minggu lagi, bagaimana kita dapat perlahan-lahan memastikan kita dapat benar-benar kembali kepada, bukan seperti dulu, tetapi kebiasaan baru.

“Kembali kepada kebiasaan baru untuk kita memastikan dapat terus menghalangnya, atau memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham juga menegaskan, walaupun PKP ditamatkan nanti, selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, semua orang perlu mengubah kebiasaan dan gaya hidup mereka demi menghalang wabak itu.

“Masalah pada masa ini ialah kita boleh kurangkan bilanga kes, tetapi kita tak boleh hapuskannya (secara keseluruhan). Selagi kita tiada vaksin, kita perlu ambil strategi pencegahan.

“Ini bermakna cara hidup dan tindakan kita perlu diubah, walaupun jika tiada PKP. Kita perlu melihat satu strategi keluar yang dapat mengawal dan mencegah Covid-19,” katanya lagi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penemuan vaksin akan mengambil masa kira-kira satu setengah tahun, justeru pertubuhan itu menjangka “perang” melawan wabak itu akan terus berjalan sehingga tahun depan.

Justeru, kata Noor Hisham, kawalan pergerakan – dengan tahapnya bergantung kepada keadaan – akan terus ada antara tiga hingga enam bulan.

“Kita mungkin akan ambil sedikit masa, mungkin tiga atau enam bulan.

“Dasar kita perlu berubah, dari segi tiada perhimpunan awam misalnya, dan penjarakan sosial dan terus mengingatkan orang awam agar membasuh tangan dan lebih penting untuk kekal di rumah jika tiada urusan untuk ke tempat awam,” katanya lagi. ~ Malaysia Kini

error: ...