Dikompaun, duduk rapat di kedai makan

Seramai 14 individu dikompaun kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam pemeriksaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam. – Foto NSTP/Norsyazwani Nasri

KUCHING: Seramai 14 individu membabitkan lapan lelaki dan enam wanita, dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pemeriksaan dijalankan pihak polis di sekitar bandaraya Kuching iaitu dalam beberapa kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Satok, Tabuan Jaya, Sekama dan Sungai Maong, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata ketika pemeriksaan dijalankan di premis kedai makan terbabit, didapati ada di antara pelanggan, duduk di dalam keadaan yang terlalu rapat di antara satu dengan lain.

“Terdapat juga pelanggan yang mematuhi SOP di kedai makan tetapi penjaga premis pula gagal mengamalkan SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan berterusan terhadap pemilik premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi tetapi tidak mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). / Sumber : Berita Harian

Krisis kesihatan COVID-19 perlu respons pelbagai aspek

KUALA LUMPUR: Krisis kesihatan COVID-19 memerlukan respons pelbagai aspek dan kepentingannya berada pada tahap tertinggi sepanjang masa, justeru kegagalan bukan satu pilihan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, dunia berharap Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan menawarkan jalan dan mengenal pasti pelbagai tindakan konkrit yang dapat mengatasi impak daripada krisis COVID-19.

“Keutamaan segera kita ialah menyokong Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting di APEC. Deklarasi ini adalah petunjuk jelas komitmen kita untuk memastikan barangan penting terus dapat diakses walaupun ketika krisis.

“Saya memahami bahawa konsensus mengenai deklarasi ini sukar dicapai untuk satu tempoh. Bagaimanapun pada minggu ini, kita dapat bekerjasama dan akhirnya, menemui penyelesaian yang diterima semua orang.

“Kedua, pegawai kanan kami telah mengemukakan cadangan untuk memudahkan pergerakan penting rakyat merentas sempadan, dalam APEC. Saya berharap kerja pada peringkat pegawai dalam bidang ini akan dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat digital pertama untuk Menteri Perdagangan APEC, yang dipengerusikannya, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, kemajuan telah dicapai dalam Visi Pasca 2020 dan berharap visi itu akan dimuktamadkan pada akhir tahun.

Beliau berkata, APEC perlu mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa manusia dengan sumber pendapatan, selain memastikan daya tahan ekonomi.

“Kita juga perlu menunjukkan komitmen lebih baik untuk memastikan peluang ekonomi, penyelesaian teknologi serta sistem penjagaan kesihatan dapat diakses dan mampu untuk semua orang, terutama mereka yang berada dalam sektor ekonomi bukan formal, kumpulan terpinggir serta wanita dan belia,” katanya. – BERNAMA / Berita Harian

error: ...