Doktor ditahan pecah rumah, curi babit kerugian hampir RM500,000

Antara barangan yang dirampas polis di rumah seorang doktor dalam serbuan di Kondominium Gurney Park, Jalan Persiaran Gurney, Georgetown. NSTP/ Ihsan PDRM

GEORGETOWN: Seorang doktor ditahan polis selepas disyaki terbabit sekurang-kurangnya 22 kes pecah rumah dan curi di kondominium didiaminya sejak enam tahun lalu dalam serbuan di Gurney Park, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata penahanan lelaki berusia 38 tahun itu dibuat pada jam 6 petang hasil risikan dan intipan polis susulan laporan pecah rumah di kondominium itu.

Pemeriksaan di ruang tamu kediaman suspek menemui dua kotak nintendo switch dan dua televisyen.

“Seterusnya pemeriksaan lanjut dalam bilik suspek pula menemui pelbagai barangan antaranya satu set projektor, 30 unit televisyen pelbagai jenama, 67 unit telefon bimbit, 19 unit smart tag, puluhan beg berjenama, 35 rangkai anak kunci dan kamera berjenama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Modus operandi doktor itu adalah masuk ke rumah yang tidak berkunci pada awal pagi kemudian mencuri barang di ruang tamu. – Foto ihsan PDRM

Semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM160,000.

Siasatan ke atas suspek mendapati modus operandi yang digunakannya adalah masuk ke rumah yang tidak berkunci pada awal pagi kemudian mencuri barang di ruang tamu.

Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan 22 kes pecah rumah dan curi yang berlaku di kondominium berkenaan sejak 2014 dengan kerugian RM493,615.

“Semakan yang dibuat ke atas suspek mendapati dia tiada rekod jenayah,” katanya.

Suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

error: ...