Durian punya pasal,12 pekerja pos di Jerman masuk hospital

GLOBAL | Dua belas pekerja pos di Jerman mendapatkan rawatan di hospital dan berpuluh-puluh lagi dibawa keluar dari pejabat pos di bandar Bavarian, Schweinfurt, lapor media hari ini.

Bagaimanapun ia tiada kaitan dengan sebarang kejadian ganas atau kecemasan, sebaliknya berpunca daripada bau durian dari sebuah bungkusan yang berada di premis berkenaan.

Polis, bomba dan anggota perkhidmatan kecemasan kemudian dipanggil ke pejabat pos terbabit dalam kejadian pada kelmarin.

Kekecohan berlaku apabila salah seorang pekerja pos berasa curiga kerana terhiduu bau yang amat asing buatnya.

“Oleh kerana kandungan bungkusan itu tidak diketahui dan tidak jelas, ia dianggap sebagai barang berisiko tinggi,” kata kenyataan polis Schweinfurt seperti dipetik portal berita antarabangsa CNN.

Pihak berkuasa kemudian mengarahkan bangunan tersebut dikosongkan. Seramai 60 pekerja juga dipindahkan sebelum bungkusan tersebut diperiksa dengan lebih teliti.

Setelah siasatan dibuat, ternyata bungkusan tersebut mengandungi empat buah durian dari Thailand. Ia milik seorang penduduk Schweinfurt – berusia 50 tahun – yang mahu mengirim ‘raja buah’ itu kepada rakannya di Nuremberg.

Jelas pihak polis lagi, 12 pekerja yang mendapatkan rawatan di hospital itu mengadu loya. Enam yang lain pula dibawa ke hospital tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. 

Untuk rekod sebelum ini program realiti Fear Factor pernah menampilkan durian sebagai salah satu makanan yang mesti ditelan oleh peserta. 

Biasanya peserta dikehendaki memakan haiwan atau unggas yang menjijikkan. */ Sumber : Malaysiakini

error: ...