Guna Apps ”MySejahtera” Check-In daftar pelawat dan mengawal kemasukan pelawat ke premis perniagaan, tapak pembinaan, kilang dan pejabat.

KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar dan mengawal kemasukan pelawat ke premis perniagaan, tapak pembinaan, kilang dan pejabat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur itu boleh dilakukan menerusi fungsi tambahan dalam aplikasi berkenaan yang dikenali sebagai MySejahtera Check-In.

Katanya, fungsi tambahan dalam aplikasi MySejahtera itu akan membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak COVID-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara.

“MySejahtera Check-In ini akan boleh digunakan bermula 2 Jun ini di tiga outlet AEON.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dalam membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga Jumaat lalu, aplikasi MySejahtera mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Aplikasi MySejahtera diperkenalkan pada April lalu, antaranya sebagai usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, dengan fungsi membantu pengguna mengenal pasti tahap kesihatan sepanjang penularan wabak itu.

MySejahtera juga berfungsi membantu pengguna mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID-19, selain mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan dan rawatan. */ Sumber : Berita Harian

error: ...