Hanya 6,000 rakyat tempatan berbanding 16,000 warga asing kawasan PKPD Pasar Borong Selayang

Annuar ketika temu bual bersama Bernama Radio mengenai Pengurusan Covid-19 dan soal jawab ‘Light It Blue’ Wilayah Persekutuan di Wisma Bernama hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Hanya 6,000 rakyat tempatan berbanding 16,000 warga asing mendiami kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, berdasarkan bancian terbaru di kawasan itu mendapati daripada jumlah keseluruhan penduduknya iaitu 22,000 orang, seramai 16,000 adalah warga asing termasuk golongan pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ketika bancian awal hanya ada lebih 10,000 warga asing namun setelah dibanci secara terperinci mendapati angka naik sehingga 16,000 (warga asing).

“Namun semua penduduk di PKPD termasuk warga asing akan dibekalkan dengan makanan.

“Tidak mungkin kami akan menggunakan wang ‘pembayar cukai’ untuk bekalan makanan mereka, jadi satu tabung khusus digerakkan bagi mengumpul dana membeli makanan asas kepada warga asing di kawasan PKPD,” katanya ketika wawancara eksklusif Bernama Radio bertajuk ‘Pengurusan Covid-19 dan PKP Wilayah Persekutuan’ di sini, hari ini.

Annuar berkata, sumbangan tabung khusus itu kini sudah mencecah lebih RM1 juta dan orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan ke tabung itu menerusi Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) di Jalan Tun Razak.

“Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bekalan makanan kepada rakyat tempatan di kawasan PKPD akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar ibu kota semakin baik apabila semakin kurang mereka ditahan kerana ingkar perintah tersebut.

“Jika dibandingkan dengan negara-negara lain ada pihak penguatkuasaannya terpaksa menggunakan kaedah lebih agresif untuk menangani kes ingkar PKP, namun di Malaysia, ada kerjasama dan kepercayaan antara kedua-dua pihak iaitu rakyat dengan kerajaan,” katanya. – Bernama / Sinar Harian

error: ...