Hati2 Makan Durian kerana ia ‘perangkap’ penyakit

KEENAKAN durian terutama klon Musang King, Udang Merah dan Duri Hitam membuatkan sesiapa sahaja sanggup ke pelosok negara untuk menikmatinya.

Aroma, warna, bau dan kegebuan durian mempunyai pelbagai khasiat seperti mengandungi vitamin C, B2 dan B9, phytonutrien dan antioksidan tinggi.

Raja buah itu juga mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.

Makan durian memang lazat. Sesetengahnya makan semahu-mahunya. Selang beberapa jam, badan mulai panas dan kepala pula pening, selain pedih ulu hati dan kembung perut akibat terlebih menikmati durian yang menyebabkan individu rasa tidak selesa.

Situasi itu adalah normal. Malah mereka tahu akibat pengambilan secara berlebihan boleh mengakibatkan kesan negatif, namun ramai yang tewas akibat keenakannya.

Pakar Sains Makanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Wan Rosli Wan Ishak, berkata secara purata, pengambilan durian sebanyak dua ulas sudah mencukupi, namun bagi ulas yang besar, satu sahaja memadai.

Katanya, ini kerana makan secara berlebihan boleh mengundang sensasi ‘panas’ dan sakit kepala.

Kajian menunjukkan ada lebih 100 jenis sebatian meruap yang memberi perisa dan aroma dikenal pasti dalam durian.

Beliau berkata, antaranya ialah kumpulan ester, sebatian bersulfur, sebatian karbonil, sebatian beralkohol, hidrokarbon.

“Sebatian ini bergantung kepada spesis. Sebatian kimia bersulfur dan ester ini sangat mudah meruap. Oleh itu durian ini dapat dihidu walaupun dari jarak jauh dan apabila dimakan dalam kuantiti banyak, bahan kimia bersulfur meruap dalam durian ini mungkin boleh mengaktifkan sistem penghadaman tertentu menyebabkan sensasi ‘panas’,” katanya.

Awas pesakit buah pinggang

Reaksinya itu bergantung kepada sistem penghadaman individu, sebahagian sebatian bersulfur yang tidak ‘sempat’ meruap mungkin akan diguna oleh bakteria dalam usus besar dan menghasilkan gas hidrogen sulfida.

Fenomena ini akan menyebabkan pengumpulan gas (angin) seterusnya membuatkan kemungkinan pedih ulu hati, sendawa, sering kentut dan kembung perut.

Dr Wan Rosli berkata, situasi itu adalah kesan ‘negatif’ pengambilan buah durian secara berlebihan, namun waspada kepada golongan yang mempunyai penyakit serius seperti pesakit buah pinggang kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka!

Ini kerana durian mempunyai kandungan mineral potasium yang tinggi kurang sesuai kepada pesakit buah pinggang terutama yang sedang menjalani rawatan dialisis.

“Bagi pesakit buah pinggang, sistem perkumuhan mereka tidak berupaya untuk mengeluarkan bahan kumuh daripada badan, contohnya potasium berbanding dengan individu normal,” katanya.

Gangguan ritma jantung, Pengambilan makanan yang tinggi kandungan potasium mungkin boleh menyebabkan peningkatan paras potasium dalam darah.

Katanya, paras potassium yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan gangguan kepada ritma jantung dan boleh membahayakan nyawa pesakit.

Pesakit diabetes Kadar gula di dalam durian juga tinggi, justeru perlu diambil dalam kuantiti sederhana terutama mereka yang menghidap diabetes.

Pengambilan durian dalam kuantiti banyak menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tidak terkawal dan menyebabkan pesakit mula mengalami kelemahan yang berterusan, ” katanya.

Tekanan darah tinggi, serangan jantung Tahun lalu, di Jakarta melaporkan seorang lelaki yang juga penghidap darah tinggi disyaki maut akibat pengambilan durian secara berlebihan.

Keadaan itu, mungkin boleh terjadi apabila makan terlalu banyak buah itu menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu tinggi mengakibatkan salur darahnya pecah.

Dr Wan Rosli berkata, durian mengandungi 11 jenis alkohol di mana kandungannya durian mungkin boleh meningkatkan tekanan darah pesakit hipertensi dan apabila berlaku akan menyebabkan gangguan kadar denyutan jantung, sekali gus mungkin mendapat serangan kepada jantung secara tiba-tiba.

“Sekiranya tekanan darah dan serangan jantung serentak, ia mungkin boleh menyebabkan kematian. Durian juga mengandungi sebatian bersulfur (dietil disulfida) boleh merencat aktiviti enzim aldehyde dehydrogenase (ALDH) dalam hati yang berfungsi untuk memecahkan alkohol,” katanya.

Ganggu pencernaan, perut, hati

Beliau berkata, durian memang tinggi kalori, jadi meningkatkan kandungan alkohol (daripada durian yang dimakan dalam kuantiti yang banyak) akan mengganggu pencernaan pada perut dan hati.

“Hal ini mungkin boleh mengakibatkan paras alkohol dalam darah yang gagal dipecah oleh tubuh kerana direncat oleh durian akan berubah menjadi sangat beracun,” katanya.

Minum air dalam kulit durian hanya mitos

Beliau berkata, minum air di dalam kulit durian seperti dakwaan sesetengah bagi mengelak rasa ‘panas’ adalah mitos dan tiada bukti saintifik berkaitannya.

Katanya, agak sukar untuk mengaitkan sebatian kimia dalam pangsa durian ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan kemungkinan kesan psikologi yang yakin dapat berkaitannya merangsang sebatian kimia dalam otak berfungsi dan menyebabkan amalan ini berkesan, tetapi kajian lanjut perlu dilakukan berkaitannya.

Kesan bayi dalam kandungan?

Begitu juga ada pandangan ibu hamil tidak boleh makan durian kerana memberi kesan kepada bayi adalah kepercayaan semata-mata dan tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

“Saya berpendapat ibu hamil selamat dan boleh makan durian tetapi dalam kuantiti yang sederhana.

“Cuma sebagai langkah berwaspada, ibu hamil dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor jika khuatir kesannya. Bagi pesakit diabetes gestasi, pengambilan durian mungkin tidak digalakkan memandangkan kandungan gulanya tinggi, ” katanya.

Manfaat durian kepada ibu hamil

Beliau berkata, sebenarnya makan durian dalam jumlah sederhana semasa hamil boleh memberi manfaat kerana buah itu mengandungi sebatian tryptophan dan organo-sulpur memberikan kesan positif seperti memberi ketenangan, membantu mengelak imsomnia dan berfungsi sebagai antioksidan.

Mengenai kewujudan khasiat durian klon, Dr Wan Rosli berkata, secara umumnya, keenakan sesuatu klon durian adalah terdapat pada keunikan perisa membabitkan gabungan komposisi sebatian meruap, rasa, tekstur, warna, komposisi gula dan kandungan lemak.

Kajian menyeluruh juga perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada durian kampung mempunyai lebih khasiat atau sebaliknya berbanding durian klon.

Durian mengandungi gula yang sangat tinggi dan kandungan serat dietari sangat rendah berbanding buah-buahan dan sayur-sayuran lain.

Pengambilan serat dietari yang mencukupi perlu untuk menghindarkan pelbagai penyakit tidak berjangkit.

“Di USM, kumpulan kami menumpukan kajian terhadap kumpulan buah dan sayur mempunyai serat dietari tinggi seperti pisang ranum,’ rock melon’, kundur dan jagung muda.

“Hasil kajian kami mendapati serat dietari daripada pisang ranum dan jagung muda menghasilkan produk berasaskan bakeri seperti biskut, mufin dan kek yang rendah indeks glisemik (GI), di mana ia mampu dinikmati semua golongan termasuk yang menghidap diabetes kerana kandungan gula dalam darah tidak meningkat selepas mereka makan produk ini.

“Serat tak larut air memerangkap granul kanji dan melengahkan aktiviti enzim alpha-amylase untuk meghidrolisis kanji (menghasilkan glukosa) dalam produk bakeri ini. Situasi ini menurunkan respons glisemik dan nilai GI produk bakeri.

Produk berserat tinggi mengawal glukosa dalam darah supaya tidak meningkat dan seterusnya membantu mengelakkan komplikasi diabetes.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ciri rendah GI juga terdapat dalam durian yang belum masak kerana kewujudan kanji rintangnya.

Namun kajian lanjut berkaitan dengan fungsi kanji rintang dan nilai pemakanan durian pada tahap kematangan berbeza (sebelum durian betul-betul masak) berada dalam senarai perancangan kajian kami, ” katanya.

Dr Wan Rosli tidak menafikan durian boleh memberi manfaat kepada kesihatan jika diambil dalam kuantiti sederhana, sebaliknya memudaratkan serta mendatangkan komplikasi jika dimakan secara tidak terkawal.

Sumber : Berita Harian

error: ...