Hobi Pelik, Simpan sampah 4 tan

Sampah yang berjaya dikumpulkan ketika kerja pembersihan rumah warga emas dekat Kuala Klawang, Jelebu. NSTP/ABNOR HAMIZAM

JELEBU: Empat tan sampah dibawa keluar dari kawasan rumah seorang wanita berusia 60 tahun selepas hobi peliknya mengumpul sampah sarap sejak lima tahun lalu disedari orang ramai.

Susulan itu Majlis Daerah Jelebu, SW Corp dan Angkatan Pertahanan Awam ( APM ) Jelebu turun padang membersihkan sampah sarap berkenaan yang mengambil masa dua hari.

Antara sampah yang disimpan wanita itu termasuklah resit pembelian barangan, kerusi lama, botol, kotak minuman selain payung lama, papan, pelbagai jenis besi selain peralatan elektrik yang diletakkan di sekeliling rumahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang, Bakri Sawir yang turut serta dalam operasi berkenaan, berkata pembersihan itu diperlukan bagi mengelakkan anggapan buruk orang ramai.

“Disebabkan banyak, kerja pembersihan mengambil masa dua hari ia dilakukan secara manual.

“Warga emas itu juga sudah dinasihatkan untuk tidak lagi ulangi perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, wanita berkenaan mendakwa semua sampah itu disimpan sebelum dijual semula, namun kerana jumlah yang terlalu banyak dia tidak mampu lagi menguruskannya.

Sumber : Berita Harian

error: ...