Ini empat tradisi unik sambutan Aidilfitri di luar negara

JIKA di Malaysia, setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, beberapa perkara yang wajib terlintas di fikiran adalah balik kampung, baju raya, duit raya, rendang, lemang, ketupat dan macam-macam lagi.

Walaupun sambutan tahun ini berlainan dari tahun-tahun sebelumnya, kami pasti sambutan tahun ini akan sentiasa tersemat di hati setiap orang.

Bagaimana pula dengan sambutan dalam komuniti berbeza di negara-negara lain? Pasti setiap satunya ada kaedah dan pengisian tersendiri.

Namun, tujuannya tetap sama, iaitu meraikan kemenangan serta berkongsi kegembiraan.

1) Perang ketupat

Di Bali, Indonesia, tradisi ‘Perang Topat’ sering diraikan oleh umat Islam di Lombok. Kebiasaannya, tradisi ini akan diadakan pada 7 Syawal atau hari terakhir pada minggu pertama Syawal.

Walaupun ia dinamakan sebagai ‘perang’, namun ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Meskipun mereka yang mengikuti tradisi ini saling membaling ketupat ke arah masing-masing, tetapi ia sebenarnya menggambarkan simbolik perpaduan antara dua kaum.

Tradisi ini adalah simbol perdamaian antara umat Islam dan Hindu di Lombok.

2) Telur warna-warni

Di Afghanistan, tradisi seumpamanya melibatkan ‘perang’ makanan juga diraikan setiap kali sambutan Aidilfitri.

Tetapi di Afghanistan, ia melibatkan telur rebus. Tradisi yang dinamakan ‘Tokhm-Jangi’ ini selalunya disertai oleh golongan lelaki.

Kebiasaannya, 200 biji telur akan direbus oleh setiap keluarga kemudian akan diwarnakan dengan pelbagai warna.

Mereka akan melemparkan telur kepada satu sama lain dan siapa yang masih berbaki telur pada akhir perlawanan akan diangkat sebagai pemenang.

3) Inai di tangan, kaki

Di India pula, perayaan Aidilfitri yang dikenali sebagai ‘Chaand Raat’ yang bermaksud ‘malam anak bulan’ kebiasaannya akan disambut pada malam raya.

Umat Islam akan berkumpul beramai-ramai di kawasan lapang untuk melihat anak bulan dan antara aktiviti yang akan dilakukan adalah memakai inai sama ada di tangan atau kaki atau kedua-duanya sekali.

Malah mereka juga akan bertukar buah tangan dalam pelbagai bentuk antaranya duit dan manisan.

4) ‘Trick or treat’

Di Turki, tradisi yang dinamakan ‘Seker Bayrami’ adalah lebih kurang sama seperti sambutan Halloween di mana kanak-kanak akan mengunjungi rumah jiran tetangga untuk menerima manisan tradisional.

Ia sering dilakukan pada hari-hari terakhir Ramadan dan kebiasaannya kanak-kanak akan mengunjungi warga emas semasa sambutan ini.

Tradisi ini turut merangkumi kanak-kanak perlu bersalaman bersama golongan yang lebih berusia sebagai tanda hormat.

Tersenarai merupakan empat sambutan unik semasa perayaan Aidilftiri.

Pastinya sambutan ini berbeza tahun ini memandangkan seluruh dunia ketika ini sedang berperang menghentikan penularan COVID-19, sama seperti kita di Malaysia.

Sumber : Astro Awani

error: ...