Jalan raya lengang tapi internet mungkin sesak pagi Syawal

AIDILFITRI pada tahun ini tidak dapat disambut seperti biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya akibat penangan koronavirus (Covid-19).

Umat Islam di negara ini juga tidak dapat melakukan ziarah seperti kelazimannya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung sehingga 9 Jun 2020.

Merak Jalanan agak situasi itu akan memberi gambaran berbeza terhadap sambutannya yang sinonim dengan kemeriahan dan warna-warni busana setiap keluarga.

Kalau dulu, jalan-jalan utama di setiap negeri akan sesak kerana orang ramai melakukan aktiviti ziarah sebaik sahaja solat sunat Aidilfitri selesai.

Dulu orang kata jalan raya di Kuala Lumpur lengang ketika Aidilfitri. Siapa yang tidak balik kampung boleh baring sambil berguling-guling di atas jalan raya.

Kini, situasi sama juga Merak Jalanan fikir akan berlaku di setiap ceruk kawasan di seluruh negara.

Sebaliknya yang sesak mungkin adalah sambungan internet kerana semua orang cenderung menggunakannya untuk membuat panggilan video.

Masing-masing mahu menatap wajah ibu dan bapa pada pagi raya, melepaskan rindu selepas sekian lama tidak berjumpa dan memohon ampun dari kejauhan.

Bayangkan bagaimana situasinya apabila jutaan rakyat Malaysia serentak menggunakan perkhidmatan sama di internet?

Tentu banyak paparan video yang tersangkut-sangkut sehingga memaparkan wajah yang lucu.

Merak Jalanan harap situasi tersebut tidak akan berlaku kerana penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara kita sedia maklum masalah tersebut.

Sudah tentu mereka telah membuat persiapan awal bagi menyelesaikan masalah tersebut, sekali gus memudahkan pelanggan masing-masing berhubung dengan ahli keluarga tanpa sebarang masalah.

Sumber : Sinar Harian

error: ...