JKNT arah pengusaha puding menutup dapur premis selama 14 hari.Telur tamat tempoh punca kes keracunan puding buih

KUALA TERENGGANU: Telur tamat tempoh digunakan untuk mengadun puding buih, punca utama berlakunya kes keracunan makanan, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak menjelaskan, keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati, penggunaan telur tamat tempoh punca utama 99 orang menghadapi kes keracunan puding buih.

Bagaimanapun, Alias berkata, semua mangsa kes keracunan puding buih berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Tindakan dilakukan Jabatan Kesihatan negeri Terengganu (JKNT) adalah menutup dapur premis untuk jualan puding buih mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun depan,” katanya ketika pada sidang media khas di Bilik Gerakan Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed.

Isnin lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli melalui dalam talian.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pengusaha puding buih itu dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan dan tidak melakukan suntikan vaksin penyediaan makanan.

Jelasnya, pengusaha puding buih itu mempromosikan pencuci mulut melalui dalam talian.

Berikutan kes itu, katanya, JKNT sudah diarah mengenal pasti semua pengusaha dan pengendali makanan melakukan suntikan vaksin. */ Sumber : Berita Harian

error: ...