Kalau balik semula tak boleh lolos, bayarlah kompaun – Ismail Sabri

“Kalau balik semula tak boleh lolos, bayarlah kompaun. Kita tak tahan mereka pulang (untuk bekerja), kita galak mereka pulang tetapi jangan pula kerana takut dikompaun sehingga tak balik pula dan hilang kerja pula,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang mereka untuk kembali pulang bekerja, tetapi tindakan yang bakal dikenakan terpulang kepada polis, memandangkan sekatan jalan raya akan terus dikekalkan.

Tegasnya juga, tiada istilah polis berkeras dalam mengelurkan kompaun kepada pesalah PKPB sewaktu menyambut perayaan, kerana amaran telah acapkali dikeluarkan sebelum ini.

“Ketua Pengarah Kesihatan dan saya sendiri telah banyak kali mengingatkan dan menasihatkan orang ramai, pentingnya mematuhi PKPB atau berdepan tindakan.

“Polis tidak berkeras kerana jumlah yang dikenakan kompaun terlalu kecil, berbanding jumlah rakyat Malaysia. Jadi polis akan terus bertegas dalam melaksanakan undang-undang,” katanya.

Beliau juga berkata sepanjang 24 jam semalam, pihak polis telah mengenakan 153 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa lebih 102,852 kenderaan.

“Sebanyak 738 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis berbanding 1,243 pada hari sebelumnya.

“Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor (317), Melaka (89) dan Kedah (80).

“Semalam PDRM telah menahan 65 individu yang mana 57 individu telah direman dan lapan individu dijamin atas kesalahan ingkar PKPB,” katanya.

Hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengingatkan penjawat awam bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja jika tidak kembali ke pejabat selepas Aidilfitri.

Katanya, alasan terperangkap di kampung, gara-gara melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh PKPB tidak boleh diterima sama sekali.

Mohd Khairul Adib berkata sekiranya pegawai tidak hadir bertugas, boleh dikenakan hukuman mengikut Perintah Am Bab D (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993). / Sumber : Malaysiakini

error: ...