Kedah cadang kuat kuasa larangan rentas daerah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan larangan rentas sempadan daerah di negeri ini susulan penularan Kluster Tawar yang sehingga kini merekodkan 73 kes positif.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sangat berharap cadangan itu dipertimbangkan berikutan hanya Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan itu.

“Sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu pengumuman daripada Kerajaan Pusat setelah cadangan itu dinyatakan semalam.

“Kita hantar cadangan sama untuk dipertimbangkan sekali lagi hari ini dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa beliau akan memanggil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk bermesyuarat dengan segera,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata cadangan larangan rentas sempadan daerah itu mempunyai beberapa peraturan yang harus dipatuhi penduduk setempat.

“Yang dalam kawasan (daerah) itu boleh keluar, boleh berniaga cuma dia tak boleh rentas ke kawasan lain. Sebabnya kita nampak Kluster Tawar ini sudah merebak ke banyak tempat.

“Orang Baling duduk dalam Baling sahaja, senang kita nak kawal penularan wabak COVID-19. Apa pun kita kena tunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tiada kuasa dalam bidang ini,” katanya.

KKM hari ini mengesahkan tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar menjadikan jumlah kes positif sebanyak 73 kes.

Sehingga hari ini, seramai 4,051 individu disaring di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi mengesan rantaian penularan jangkitan yang berpunca daripada Kluster Tawar.

Sumber : Berita Harian

error: ...