Kerajaan belum putuskan larangan balik kampung

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menguatkuasakan semula larangan merentas negeri pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, meskipun terdapat pertambahan kes positif koronavirus (Covid-19) sejak beberapa hari lalu namun ia dilihat masih rendah.

“Belum ada keputusan macam itu lagi (larangan rentas negeri).

“Cuma keadaan tidak bagus sebab kes meningkat, tetapi kita masih lagi angka yang rendah,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan dalam proses untuk mewartakan arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, pihak berkuasa sedang berbincang bagi menetapkan tarikh pewartaan tidak lama lagi.

“Kita galakkan orang ramai memakai mask (pelitup muka di tempat awam),” katanya.

Dalam sidang akhbar sama, Dr Noor Azmi memaklumkan bahawa kerajaan tidak menangguhkan sesi persekolahan tahun ini kerana pelaksanaannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, meskipun kerajaan bimbang dengan situasi semasa namun langkah pencegahan telah diambil supaya murid dapat kembali ke sekolah.

“Hari ini adalah hari yang penting. Kumpulan terakhir murid Tahun Satu hingga Empat bersekolah semula.

“Kita dapat lihat awal lagi apabila kita lepaskan pelajar Tingkatan Lima dan Enam, kita melihat kepatuhan SOP dan saya juga ada melawat beberapa sekolah di Putrajaya,” katanya.

sumber : sinar harian

error: ...