Kerajaan negeri ambil alih kebun durian haram di Raub

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. – Foto fail JPNP

KUANTAN: Kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan keputusan kerajaan negeri yang hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar kampung berkenaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja.

Menurutnya, selepas 24 Ogos ini, pos kawalan akan dibina dan pihak yang dibenarkan sahaja boleh memasuki kawasan terbabit.

Katanya, pihak yang didapati menceroboh akan diambil tindakan termasuk didakwa atau memusnahkan tanaman yang difikirkan perlu.

“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini dan pencerobohan akan diambil tindakan mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

“Jika disabitkan kesalahan pihak berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi pencerobohan di hutan simpan, penceroboh boleh didakwa mengikut Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri memandang serius isu penerokaan dan penanaman durian di atas tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih berleluasa hingga kini.

“Tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu penanaman durian secara haram di Raub memandangkan terdapat bukti pembukaan tanah haram untuk tanaman raja buah itu terus bertambah di kawasan terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Menurutnya, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara selain memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan dan sumber air.

Isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram sebelum ini dibangkitkan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub. */ Sumber : Berita Harian

error: ...