Kerja Angkut najis usung atas kepala

Boleh dikatakan hampir setiap hari Berzwada Wilson melihat ibu dan bapanya bekerja sebagai pengangkut najis secara manual bagi membersihkan kawasan sekitar perkampungan mereka di Kolar, Karnataka, India.

Untuk remaja berusia 15 tahun sepertinya, menyaksikan sendiri keperitan ibu dan bapanya membersihkan najis orang lain sebagai sumber pendapatan amat mengecewakan.

“Saya tidak malu dengan apa yang mereka lakukan. Cuma saya amat kecewa kerana ibu dan bapa saya berasakan itu sahaja kerja yang mampu dilakukan,” ujar Wilson, kini berusia 50 tahun.

Kekecewaannya berterusan sehinggalah Wilson, yang ketika itu berusia 18 tahun, bertegas enggan mengikut jejak langkah ibu dan bapanya.

Cukuplah sekali percubaannya bekerja sebagai pengangkut najis selepas tamat persekolahan.

“Saya rasa seperti mahu m@ti ketika itu,” katanya ringkas.

Untuk mengatasi masalah itu, Wilson muncul dengan beberapa kempen memodenkan sistem kumbahan di kawasan kampungnya.

Dia kemudiannya mengetuai gerakan ‘Safai Karmachiari Andolan’ yang dibawa ke seluruh India dengan bergabung bersama aktivis Dalit.

Pergerakan itu dilancarkan pada 1995 selepas Wilson memfailkan laporan di Mahkamah Agung dengan meletakkan tugas membuang najis secara manual jelas tidak menepati Akta Larangan 1993.

Kerja membuang najis oleh individu secara manual dihar@mkan mengikut akta itu, namun ia masih diteruskan di kebanyakan negeri di India.

Dan atas usahanya selama lebih dua dekad ini, Wilson dinamakan sebagai penerima Anugerah Yayasan Ramon Magsaysay (yang disifatkan Hadiah Nobel untuk Asia), baru-baru ini.

Mengangkut najis daripada tandas kering dan parit terbuka, dimasukkan ke dalam bakul dengan tangan dan diusung di atas kepala untuk dibawa ke tapak pelupusan menjadi pekerjaan utama masyarakat Dalit, yang secara tradisinya berada di kedudukan paling rendah dalam sistem k@sta India.

Sekurang-kurangnya 90 peratus daripada hampir sejuta pemungut najis manual India ini adalah wanita berikutan ia pekerjaan turun-temurun membabitkan 180,000 isi rumah Dalit yang membersihkan lebih 700,000 tandas kering awam dan swasta di seluruh negara.

Ujar Wilson, anugerah yang diterimanya itu adalah pengiktirafan untuk pekerja wanita yang tidak dibenarkan bersuara dan sentiasa dilarang daripada berhenti melakukannya.

“Kepayahan yang dialami mereka amat perit dan setiap hari kumpulan ini berdepan pelbagai cabaran serta tingkah laku yang tidak sepatutnya daripada kasta lain.

“Wanita itu adalah wira sebenar dalam masyarakat India. Tetapi wira yang melakukan tugas tidak dikehendaki ini sentiasa ditindas dan diberi fahaman negatif bahawa kehidupan mereka sejak lahir adalah sebagai pengangkut najis. Itu adalah salah satu bentuk eksploitasi dan ia sepatutnya sudah dihentikan sejak dulu,” tegas Wilson.

Kesempitan hidup nyata tidak menghalang Wilson lari daripada pekerjaan itu dan dia muncul generasi pertama dalam keluarganya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Gerakan ‘Safai Karmachiari Andolan’ yang dilancarkannya selepas tamat pengajian berjaya menarik penyertaan lebih 25 negeri seluruh India.

“Tiada siapa pun yang mahu atau rela masuk ke dalam tangki pembetungan najis semata-mata kerana ingin tahu kerana mereka sedar itu amat berbah@ya.

“Angka kem@tian yang membabitkan pekerjaan ini masih tinggi dan ia realiti yang tidak boleh diabaikan,” tambahnya.

Ramai gembira apabila India mengambil keputusan meluluskan akta berkaitan dan majikan yang ingkar akan dikenakan hukvman.

“Pengh@raman sudah dilakukan, tetapi malangnya tiada tindakan diambil. Individu yang disuruh melakukan perkara itu perlu membuka bermacam fail laporan terlebih dulu sebelum kesnya diberi perhatian.

“Ia menyukarkan lagi keadaan si pengadu hingga akhirnya mereka kembali melakukan pekerjaan itu. Jika undang-undang dalam akta itu berkuat kuasa serta-merta, saya percaya pekerjaan ini akan pupus dalam masa singkat,” katanya dengan penuh harapan. – Reuters

Sumber : Harian Metro

error: ...