Kisah pemilik Lamborghini Huracan yang baik hati!

PETALING JAYA – Seorang wanita menerima hadiah sebuah kereta Perodua Myvi dari pemilik kereta mewah Lamborghini Huracan setelah mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Petaling Jaya di sini.

Hadiah kereta Perodua Myvi itu diberikan kerana kereta Perodua Viva dipandu wanita itu remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan Lamborghini Huracan dipandu pemiliknya dikenali Thomas pada Rabu lalu.ADVERTISING

Thomas berkata, dia tampil membantu kerana bimbang wanita itu yang juga peniaga dalam talian terputus punca pendapatan disebabkan tiada kenderaan.

“Bimbang tidak ada pendapatan ekoran kenderaannya remuk, saya tampil untuk membantu dengan menghadiahkan kereta Myvi bagi menggantikan kereta Viva.

“Kami juga mendapati jumlah insurans kereta dia adalah rendah, jika benar-benar mahu menuntut jumlah insurans ia hanya dapat beberapa ribu sahaja.

“Malah tuntutan untuk wang insurans mengambil masa beberapa bulan dan ia sedikit sebanyak membebankan wanita itu.

“Jadi, saya fikir lebih baik tolong dengan menghadiahkan sebuah kereta Myvi secara percuma,” katanya kepada Sinar Harian.

Thomas yang juga memiliki sebuah kedai aksesori kereta Wrapz63 di Sunway berkata, dalam keadaan negara dilanda wabak koronavirus (Covid-19), dia memahami keadaan wanita itu yang sangat memerlukan sebuah kenderaan demi menjalani kehidupannya.

“Saya tahu keadaan bila tiada kenderaan. Saya juga tidak bermaksud dengan ada wang kita boleh beli apa sahaja tetapi saya cuba terbaik untuk meringankan beban wanita selain minimumkan kerosakan yang ada.

“Saya juga akan bantu dari segi mempromosikan perniagaan wanita berkenaan. Buat masa ini kereta Myvi berada di kilang dan Isnin depan, akan serahkan kereta kepada dia.” katanya.

Dalam pada itu, Thomas memberitahu, tuntutan wang insurans kereta wanita itu tetap diteruskan dan wang berkenaan boleh disimpan untuk kegunaan hariannya.

Sementara itu rakan Thomas, Mohamed Azman Md Nor menyambut baik usaha dan bantuan yang dihulurkan kepada mangsa kemalangan.

“Dia lelaki yang baik, ada sifat tanggungjawab. Malah tolong mangsa untuk teruskan dalam perniagaannya,” katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial pemilik kereta Lamborghini Huracan menghadiahkan mangsa kemalangan sebuah kereta Perodua Myvi.

Dikatakan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai kata putus yang baik dan tidak ada pihak yang cedera selepas kemalangan itu.

Kisah itu menarik perhatian netizen yang menyifatkan pemilik kereta mewah itu adalah orang yang bertanggungjawab dan ia adalah satu dalam seribu.

Sumber : Sinar Harian

error: ...