Kita akan terus hidup dengan virus COVID-19 – saintis UK

Gabenor Sao Paulo, Joao Doria melihat seorang sukarelawan menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program percubaan penghasilan anti virus itu oleh syarikat China, Sinovac Biotech di Hospital das Clinicas (HC). – Foto AFP

LONDON: Pakar saintis Britain memberi amaran bahawa COVID-19 mungkin akan terus kekal lamanya walaupun terdapat usaha menghasilkan vaksin secara global bagi membendung penularannya.

Ketua Perubatan di Universiti Oxford, Prof Sir John Bell, berkata patogen itu tidak akan ke mana-mana dan sudah banyak masalah yang ditimbulkan dalam usaha menghapuskannya, seperti polio, lapor agensi berita Arab News.

“Program pembasmian polio sudah dilakukan selama 15 tahun dan mereka masih belum ada penawar. Ia akan datang dan pergi dan musim sejuk akan tiba dan akan begitu banyak virus kembali,” katanya ketika memberi amaran pada mesyuarat bersama ahli politik United Kingdom.

Situasi itu turut diakui oleh pengarah badan amal penyelidikan kesihatan Wellcome Trust, Prof Sir Jeremy Farrar, yang menyatakan jangkitan ini tidak akan hilang yang kini berubah kepada jangkitan endemik manusia.

“Malah, jika kita mempunyai vaksin atau rawatan yang sangat baik, manusia masih akan hidup dengan virus ini selama bertahun-tahun akan datang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berita mengenai percubaan vaksin oleh saintis di Universiti Oxford yang mana ia dikatakan menghasilkan imun kepada lebih 1,000 sukarelawan.

Vaksin itu dihasilkan dengan kerjasama syarikat farmasi terbesar AstraZeneca. Namun, Sir John berkata, biarpun vaksin berjaya dihasilkan, tetapi ia tetap tidak mencukupi.

“Vaksin tidak mungkin memberi kesan yang akan bertahan lama, jadi kita harus menjalani kitaran vaksinasi yang berterusan dan kemudian lebih banyak penyakit dan lebih banyak proses vaksinasi dan lebih banyak penyakit dan seterusnya.

“Saya rasa idea bahawa kita akan menghapuskannya (COVID-19) seluruh populasi di dunia, iau tidak realistik,” katanya. – AGENSI

sumber : Berita Harian

error: ...