Kluster baharu di Sarawak, 4 kru kapal positif Covid-19

EMPAT kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan kesemuanya adalah kes import membabitkan kru sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Bintulu.

Berikutan itu, satu lagi kluster baharu Covid-19 diisytiharkan di Sarawak iaitu Kluster Alam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kapal berkenaan yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Toyama Shinko, Jepun dibenarkan signed off selepas beberapa kru mengalami tanda dan gejala awal Covid-19.

Beliau berkata, seramai lima kru dibawa turun dari kapal dan dimasukkan ke wad isolasi,

Hospital Bintulu untuk rawatan dan siasatan lanjut.

“Hasil saringan Covid-19 yang dilakukan pada 18 Ogos 2020 mendapati empat daripada mereka adalah positif ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR).

“Daripada empat kes positif itu, dua adalah rakyat Malaysia manakala dua lagi adalah warga Filipina dan India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan empat kes baharu itu, Sarawak kini merekodkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 686 kes.

Kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu singgah di Pelabuhan Toyama Shinko pada 27 Julai hingga 1Ogos 2020 sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos 2020.

Ketika dalam pelayaran ke perairan Bintulu, Kapten kapal memaklumkan kepada agen kapal terdapat dua orang anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pada 18 Ogos 2020 mendapati lima orang mengalami tanda dan gejala awal jangkitan Covid-19 dan saringan terhadap 22 orang kru kapal akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ia termasuk saringan terhadap semua kontak yang berkemungkinan berisiko dijangkiti ketika proses membawa mereka turun dari kapal itu hingga yang menghantar ke hospital. */ Sumber : Harian Metro

error: ...