Kluster Sala: Peniaga ikan terjejas akibat salah faham lokasi wabak

Siti Rahmah menyusun hasil laut sementara menanti pelanggan di kedainya di Kuala Sala di sini hari ini.

ALOR SETAR – Kira-kira 100 peniaga dan nelayan di Kuala Sala di sini terjejas akibat salah faham lokasi wabak susulan kewujudan Kluster Sala yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabtu lalu.

Seorang peniaga ikan, Siti Rahmah Bakar, 38, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila pendapatannya menurun hampir 90 peratus kerana ketiadaan pelanggan.

Menurutnya, jualannya sekarang ini hanya bergantung kepada penduduk setempat berbanding sebelum ini pelanggan yang datang kebanyakan dari seluruh Kedah.

“Selama empat tahun berniaga ini kali pertama perniagaan saya betul-betul terkesan, semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu pun kami tak rugi macam ini.

“Sebelum ini hasil jualan boleh mencecah RM2,000 sehari tetapi sejak heboh dengan kluster itu nak dapat RM300 pun susah. Malah saya terpaksa cari pasaran luar pula untuk menampung modal yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, salah faham dalam kalangan pelanggan wujud apabila mereka mengandaikan Kuala Sala terletak dalam kawasan kluster.

Keadaan di Kuala Sala lengang tanpa pelanggan dari luar sejak tercetusnya Kluster Sala pada Sabtu lalu.

Keadaan di Kuala Sala lengang tanpa pelanggan dari luar sejak tercetusnya Kluster Sala pada Sabtu lalu.
“Kawasan ini tiada kena mengena dengan kluster terbabit. Kuala Sala sebenarnya terletak dalam Mukim Sala Kecil di bawah daerah Kota Setar manakala kes koronavirus (Covid-19) pula berlaku di Sala Besar dalam daerah Yan.

“Individu yang positif itu pula dikatakan berniaga di Guar Cempedak iaitu terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuala Sala. Akibat salah faham ini, kami semua terkesan malah ada peniaga ikan yang terpaksa berhenti berniaga kerana barang jualan rosak serta mengalami kerugian,” katanya lagi.

Seorang peniaga kedai runcit, Mohd Yusoff Osman, 60 berkata, sejak tercetusnya kluster berkenaan, kira-kira 70 peratus pelanggan luar tidak lagi berani berurusan di Kuala Sala.

“Di hadapan kedai runcit saya ini adalah tapak pasar malam setiap Rabu, tetapi semalam tak ada orang pun. Kebanyakan peniaga pasar malam adalah orang luar mungkin mereka pun takut nak mai (datang) berniaga,” katanya.

Seorang nelayan, Osman Hussin, 59 pula berkata, dia juga tidak dapat turun ke laut sejak kebelakangan ini disebabkan peraih dan peniaga enggan mengambil hasil tangkapan.

Osman menunjukkan botnya yang tersadai di Kuala Sala di sini hari ini.

Osman menunjukkan botnya yang tersadai di Kuala Sala di sini hari ini.
“Sebelum ini saya memperoleh sekitar RM50 sehingga RM150 sehari tetapi sekarang sejak tak turun ke laut saya langsung tak ada pendapatan, mujur la saya ada buat bendang sikit-sikit,” katanya.

Tambahnya, dia berharap pandemik Covid-19 cepat berlalu dan orang luar tidak lagi salah faham dengan lokasi wabak berkenaan.

“Lagipun peniaga-peniaga di sini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mai (datang) la beli ikan di sini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Hariandi kawasan berkenaan mendapati, kawasan tersebut lengang selain terdapat peniaga ikan yang tidak berniaga.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sala dikesan di daerah Yan di mana kes pertama (iaitu kes ke-9,148) adalah lelaki warganegara yang dikesan positif pada 13 Ogos lalu melalui sistem survelan klinikal Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah. */ Sumber : Sinar Harian

Peniaga, nelayan terjejas akibat salah faham Kluster Sala

ALOR SETAR: Lebih 100 peniaga ikan dan nelayan di Kuala Sala, Mukim Sala Kecil, di sini terjejas dipercayai akibat salah faham mengenai kawasan Kluster Sala yang tercetus sejak Sabtu lalu.

KEADAAN di Kuala Sala, Mukim Sala Kecil di sini, yang lengang selepas tercetusnya Kluster Sala, sejak Sabtu lalu. – Foto/Noorazura Abdul Rahman

Tinjauan di kawasan terbabit, mendapati ramai peniaga tidak beroperasi manakala nelayan tidak dapat turun ke laut selepas kehilangan pelanggan tidak lagi berkunjung ke situ.

Peniaga ikan, Siti Rahmah Bakar, 38, berkata dia kehilangan pendapatan 90 peratus apabila tiada pelanggan termasuk peraih yang sebelum ini sanggup datang dari Kedah dan Pulau Pinang.

“Sebelum ini jualan saya lebih RM2,000 sehari, tapi sekarang hendak dapat RM200 sehari pun susah, hanya penduduk tempatan saja yang datang membeli ikan di sini.

“Sebenarnya tempat lokasi wabak kluster Sala tiada kena-mengena dengan Kuala Sala, kluster ini difahamkan berlaku di Guar Chempedak, Mukim Sala Besar daerah Yan.

“Sedangkan kami berada di Mukim Sala Kecil daerah Kota Setar terletak 20 kilometer dari Guar Chempedak, akibat salah faham ini orang luar tak berani masuk ke sini dan ramai peniaga ikan berhenti berniaga elak menanggung kerugian ikan rosak tidak terjual,” katanya lebih empat tahun berniaga di situ.

Nelayan, Osman Hussin, 59, berkata dia tidak turun ke laut sejak diumumkan kluster Sala berikutan tiada peraih atau peniaga mahu membeli hasil tangkapannya.

Katanya, 40 tahun menjadi nelayan, kesan akibat salah faham mengenai kawasan kluster itu sangat dirasai, selain ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada 18 Mac lalu.

“Saya ada dua orang anak masih bersekolah, sudah lima hari saya tiada pendapatan. Saya hanya harapkan duit hasil sewa sawah tidak seberapa menampung perbelanjaan sekeluarga,” katanya berpendapatan antara RM50 hingga RM150 sehari sebelum ini.

Peniaga runcit, Mohd Yusoff Osman, 60, berkata kebanyakan peniaga di situ bergantung kepada kira-kira 70 peratus pelanggan dari luar, namun segala-galanya berubah selepas berlakunya kluster Sala.

“Di depan kedai runcit saya tapak pasar malam setiap Rabu, ramai peniaga tidak berani berniaga, bimbang tiada pelanggan. Saya harap kluster ini cepat berlalu,” katanya. */ Sumber : Berita Harian

error: ...