Krisis COVID-19: Terima Kasih Kerajaan!

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR(Bernama) — Wabak COVID-19 yang melanda dunia dan Malaysia khususnya ketika ini, memberi implikasi yang cukup besar kepada seluruh lapisan masyarakat. 

Pandemik yang pada mulanya tertumpu kepada soal kesihatan, namun ‘mengganas’ dan turut ‘menyerang’ sistem keselamatan, kewangan, pendidikan, sosial malah mungkin boleh menjejaskan kestabilan politik jika gagal ditangani dengan sebaik-baiknya. 

Bagi mengekang penularan wabak penyakit yang boleh membawa maut itu, kerajaan bertindak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas dan disambung ke fasa ketiga, bermula 15 April hingga 28 April.

Dengan penguatkuasaan PKP, maka bermulalah episod ‘kehidupan baharu’ rakyat Malaysia.

Tidak kira anda tua atau muda, si kaya atau si miskin, di kampung atau di bandar, semua perlu patuh kepada arahan PKP iaitu “Duduk Di Rumah” dan “Kekal Di Mana Anda Berada!”.

Tidak boleh keluar rumah sesuka hati seperti kebiasaan, tiada sesi persekolahan mahupun operasi taska, tiada kenduri-kendara atau gotong-royong dan apa sahaja perhimpunan beramai-ramai turut tidak dibenarkan. 

Kebanyakan peniaga juga perlu akur menutup operasi perniagaan masing-masing. 

Ini termasuklah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kakak, abang, pak cik dan mak cik yang selama ini mencari punca pendapatan melalui berniaga di tepi-tepi jalan.

Suka atau tidak, setiap rakyat perlu patuh. 

Melalui fasa PKP, kita ketepikan dahulu soal remeh-temeh seperti bosan, rasa terkongkong duduk di rumah dan yang seangkatan dengannya. 

Fokus harus diberikan kepada masalah yang lebih besar.

Bagaimana kelangsungan hidup golongan ‘biasa-biasa’ atau lebih tepat lagi mereka yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ (bermaksud orang miskin yang harus bekerja setiap masa) ? 

Apa nasib penjual nasi lemak, apam balik dan burger tepi jalan? Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang saban hari keluar ‘mencuba nasib’ menjual tisu? Pengutip dan penjual barangan terpakai, besi buruk, barang kitar semula? Nelayan, petani dan pemandu Grab?

Tiada kerja bermakna tiadalah wang. Dan jika tiada wang, bagaimana mahu meneruskan kehidupan?

Dengan ketidaktentuan berapa lama tempoh krisis COVID-19 serta arahan PKP akan berjalan, apa akan terjadi kepada golongan miskin, B40 malah mungkin turut melibatkan sebahagian kelompok M40?

Seolah-olah mengerti suara hati sang rakyat, kerajaan tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak. 

Kurang dari tempoh seminggu sejak hari pertama PKP dilaksanakan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Mac lepas, mengumumkan bahawa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing bermula 1 April.

Inisiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 bilion.

Menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Seterusnya, pada 25 Mac lepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan moratorium automatik bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan PKS bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020. Di samping itu, bank juga digalakkan untuk memudahkan moratorium ke atas pinjaman korporat dan perlu menyediakan peruntukan bagi pinjaman sedemikian. 

Kemuncak khabar gembira yang sekaligus mengurangkan gundah di hati majoriti rakyat pastinya apabila Perdana Menteri pada 27 Mac lepas mengumumkan ‘hadiah’ Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang melibatkan setiap peringkat masyarakat.

OKU, warga emas, bujang, kanak-kanak di rumah perlindungan, gelandangan, orang asal, kelompok B40 sehinggalah ke M40, semuanya menerima manfaat. 

Daripada jumlah keseluruhan, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk PKS dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Sebanyak RM20 bilion pula diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pakej berkenaan menyediakan bantuan segera bagi meringankan beban semua rakyat dan sektor yang terkesan bagi menangani impak krisis COVID-19. 

“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.

“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” kata Muhyiddin ketika membentangkan pakej itu yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin sebelum ini dipetik sebagai berkata, aspek kewangan boleh menjadi punca kritikal yang membawa kepada tekanan hidup termasuklah masalah mental jika gagal ditangani.

Seorang individu boleh mengalami tekanan jiwa dan perasaan jika berhadapan masalah kewangan. Institusi keluarga boleh terjejas, suami isteri kerap bertengkar dan anak-anak terabai, sekaligus boleh membawa kepada permasalahan yang lebih besar termasuk gejala sosial dan jenayah.

Perkara ini seterusnya boleh menjadi punca kepada rantaian masalah dalam komuniti masyarakat dan seterusnya memberi kesan langsung kepada negara. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan Malaysia bertindak balas kepada krisis kesihatan global dan menyelaraskan kejutan ekonomi di seluruh dunia secara menyeluruh, tekad dan tepat pada masanya. 

Beliau berkata, PRIHATIN menggariskan tiga teras utama iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi. 

“Langkah-langkah kesihatan awam, fiskal, monetari dan kewangan PRIHATIN adalah bertujuan untuk melindungi kehidupan dan kumpulan berpendapatan rendah dalam masyarakat, mengurangkan tekanan aliran tunai perniagaan dan memelihara pekerjaan,” katanya.  

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah pula berpendapat PRIHATIN dapat membantu kuasa beli rakyat seterusnya membawa kepada perkembangan positif ekonomi domestik.  

Menurut beliau, bagi memastikan ekonomi domestik kekal berkembang walaupun mungkin dalam kadar perlahan, amat penting untuk rakyat mendapat ‘suntikan’ agar mereka terus mempunyai kuasa membeli yang boleh membawa kepada kesan limpahan ekonomi terhadap sektor lain yang turut terjejas sebelum ini.

Di saat negara-negara lain yang lebih teruk terkesan dengan krisis COVID-19 termasuklah kuasa besar Amerika Syarikat pun masih gagal bertindak dan mencari solusi terbaik bagi memastikan kebajikan rakyat terbela, Malaysia sebaliknya terus ke hadapan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.

Contoh lain, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 di negara ini, hanya empat hari sahaja diperuntukkan bagi mengubah ‘wajah’ Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah.

Ia merupakan idea Perdana Menteri sendiri dan direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bomba, dan beberapa syarikat lain. 

Muhyiddin juga sebelum itu antara lain turut memberi jaminan bahawa peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan. Ringkasnya, ideologi politik diketepikan demi kemaslahatan bersama.  

Itu belum diambil kira pencapaian lain seperti jumlah pesakit yang sembuh saban hari, penurunan angka mereka dijangkiti COVID-19 serta kejayaan PKP yang kini memasuki fasa ketiga.

KKM menerusi ciapan di Twitter rasmi KKMPutrajaya pada 13 April berkongsi, kadar kesembuhan akibat wabak COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 45 peratus dan jumlah itu merupakan antara yang tertinggi di dunia. Kadar kesembuhan tertinggi adalah China (94 peratus) dan Korea Selatan (69 peratus). 

Malaysia juga antara negara yang mencatat kematian terendah di dunia dan serantau dengan (1.6 peratus) berbanding Indonesia (8.5 peratus) dan Filipina (5.6 peratus).

Berhadapan krisis yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia dengan barisan kerajaan yang baharu sahaja dibentuk selepas melalui beberapa siri kontroversi, ianya bukanlah suatu tugas yang mudah.

Namun, setiap pemimpin menunjukkan komitmen tinggi untuk sama-sama ‘turun padang’ memantau situasi semasa rakyat di samping pantas dan cekap bertindak bagi perkara yang memerlukan keputusan segera.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat sebenarnya cukup bertuah!

Pengalaman luas Muhyiddin dalam pentadbiran negara yang kini semakin hari semakin dekat di hati rakyat dan diberi jolokan Bapa Prihatin Malaysia, ditambah gabungan barisan menteri yang turut berpengalaman, sesungguhnya amat membantu ketika negara melalui situasi sulit dan bersejarah ini. 

Kredibiliti kerajaan yang belum pun sampai tempoh ‘setahun jagung’ ini, sememangnya wajar diberi pujian dan penghargaan.

Terima kasih kerajaan! 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

error: ...