Malaysia gantung sementara juruterbang Pakistan akibat didakwa miliki lesen palsu, tipu dalam peperiksaan

Sebahagian besar juruterbang Pakistan International Airlines (PIA) didapati memiliki lesen palsu. – Foto/AFP

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung sementara juruterbang bertauliah warga Pakistan yang kini berkhidmat dengan syarikat penerbangan tempatan di Malaysia.

Ini susulan kenyataan Menteri Penerbangan Pakistan, Ghulam Sarwar Khan, Sabtu lalu, bahawa sebilangan besar juruterbang negara itu didakwa memiliki lesen palsu atau meragukan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo, dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu diambil demi keselamatan penerbangan awam negara selepas melakukan penilaian terhadap semua juruterbang warga asing yang bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (PCAA) mendedahkan seramai 262 daripada 860 juruterbang aktif di Pakistan tidak menduduki peperiksaan juruterbang dan daripada jumlah itu, 40 peratus juruterbang berkenaan memiliki lesen palsu.

Susulan pendedahan itu, katanya, sejumlah negara mengumumkan keputusan menggantung khidmat juruterbang Pakistan dan melarang Pakistan International Airlines (PIA) daripada mengadakan penerbangan masuk dan keluar dari negara mereka.

Voo berkata, pihaknya kini melakukan semua usaha untuk mengesahkan ketulenan lesen juruterbang Pakistan, sambil menambah rekod pemegang lesen juruterbang Pakistan akan disemak semula oleh CAAM dengan kerjasama PCAA.

“Juruterbang Pakistan yang memegang lesen yang diiktiraf dan disahkan oleh PCAA boleh kembali bekerja dengan serta-merta,” katanya. – BERNAMA / Berita Harian

EU gantung PIA kerana skandal lesen palsu juruterbang

KARACHI: Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) menggantung Syarikat Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA) selama enam bulan daripada terbang di Kesatuan Eropah (EU) berikutan hampir satu pertiga juruterbangnya memiliki lesen palsu atau meragukan.

EASA juga tidak dapat memastikan sama ada semua juruterbang PIA memiliki kelayakan selain hilang keyakinan terhadap syarikat penerbangan itu, menurut jurucakap PIA, Abdullah Khan kepada AFP.

EASA terpaksa menggantung PIA dan syarikat penerbangan swasta kecil lain memandangkan siasatan yang dilaporkan di Parlimen Pakistan mendedahkan bahawa sebahagian besar lesen juruterbang yang dikeluarkan di Pakistan tidak sah.

Siasatan itu mendapati 262 daripada 860 juruterbang aktif Pakistan memegang lesen palsu atau menipu semasa peperiksaan, yang mana kebanyakannya bertugas dengan PIA.

Malah, tindakan itu juga berikutan kebimbangan EASA berkenaan kemampuan pihak berkuasa untuk memastikan pengendali udara Pakistan mematuhi piawaian antarabangsa setiap masa.

Bulan lalu, satu nahas penerbangan domestik berlaku di Karachi atas kecuaian juruterbang sehingga mengorbankan 98 penumpang.

Baru-baru ini, PIA meneruskan tempahan untuk lima ibu kota Eropah termasuk Paris, Milan dan Barcelona.

Sementara itu, Perdana Menteri, Imran Khan, berkata beliau akan memperbaharui PIA dan institusi kerajaan lain memandangkan tiada pilihan lain.

Menteri Persekutuan untuk Penerbangan, Ghulam Sarwar Khan, berkata pembaharuan yang bertujuan untuk menyusun semula PIA akan selesai pada akhir tahun ini. – AFP / Berita Harian

262 juruterbang di Pakistan didakwa miliki lesen palsu, tipu dalam peperiksaan

ISLAMABAD: Syarikat penerbangan Pakistan berdepan keadaan sukar susulan hampir satu per tiga daripada juruterbangnya didakwa memiliki lesen palsu atau meragukan.

Pakistan International Airlines (PIA) berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap 141 daripada 434 juruterbang syarikat itu selepas semakan semula oleh kerajaan mendapati mereka memiliki kelayakan palsu atau menipu dalam peperiksaan dengan meminta orang lain mendudukinya.

Skandal itu timbul susulan nahas pesawat di Karachi pada bulan lalu yang mengorbankan 98 orang di mana pihak berkuasa secara asas meletakkan kesalahan pada dua juruterbangnya.

Menurut penyiasat, juruterbang terbabit berbual mengenai COVID-19 ketika berusaha mendaratkan pesawat Airbus A320 tanpa roda ke bawah sehingga menyebabkan enjin mengalami kerosakan teruk.

Pesawat terbabit hilang kuasa sebelum terjunam ke kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang ketika ia cuba melakukan pendaratan kali kedua.

Menurut hasil semakan semula kerajaan pada tahun lalu yang perinciannya didedahkan pada Khamis lalu, seramai 262 daripada 860 juruterbang aktif di Pakistan memiliki lesen palsu atau menipu dalam peperiksaan. Lebih separuh daripada mereka bertugas dengan PIA.

Menteri Penerbangan Pakistan, Ghulam Sarwar Khan, semalam memaklumkan setakat ini, pihak berkuasa sudah memulakan prosiding pemecatan terhadap 28 daripada 262 juruterbang itu dan berkemungkinan turut membabitkan pertuduhan jenayah.

Beliau berkata, PIA akan melakukan reformasi untuk menyusun semula syarikat penerbangan itu, dan ‘proses pembersihan’ berkenaan harus diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

“Orang berkata, ini (pendedahan) akan memberi kesan negatif. Namun apabila anda berusaha menyelamatkan pesakit, anda harus melakukan pembedahan besar, radiasi – bahkan kemoterapi,” katanya pada sidang media. – AFP / Berita Harian

error: ...