Malaysia mungkin kembalikan SOP PKP

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin melaksanakan kembali prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, jika majoriti rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang menjalani perintah kuarantin di rumah, terus mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab ‘saya tidak peduli’.

Petandanya sudah pun ada, dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini, manakala perintah kuarantin mandatori 14 hari di stesen yang ditetapkan bagi mereka yang pulang dari luar negara kembali diwajibkan semula, sejak Jumaat.

Lebih buruk lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata Kuching, Sarawak diisytiharkan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga, berkata kerajaan semalam bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang dilonggarkan sebelum ini di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) dan dijangka akan membuat pengumuman mengenainya selepas mesyuarat menteri-menteri Isnin ini.

Beliau berkata perkara itu tidak menghairankan apabila 2,897 individu di bawah kuarantin mandatori di rumah masih belum melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas 13 hari pulang dari luar negara.

Secara statistik, kes jangkitan baharu COVID-19 terus meningkat dengan 23 kes dilaporkan semalam berbanding 21, sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,884 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 167 kes.

Dua hari lalu, beliau berkata Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Semasa menyatakan kebimbangan itu, Dr Noor Hisham berkata ketika ini kadar R0 naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lalu.

Katanya jikalau R-naught (R0) meningkat, ini bererti semakin ramai akan dijangkiti. Apa yang membahayakan adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6. – BERNAMA / Berita Harian

Kuching kini zon merah, Hospital Sentosa ditutup, Semua kakitangan pusat perubatan di Kuching itu dikuarantin di dalam hospital berkenaan.

Kuching kini dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes setakat 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Hospital Sentosa di Kuching turut ditutup kepada orang awam manakala semua kakitangan pusat perubatan itu dikuarantin di dalam hospital berkenaan.

“Empat kes baharu Kluster Hospital Sentosa. (Seramai) 677 individu telah disaring dan diuji, 657 masih menunggu keputusan dan Kuching, Sarawak telah menjadi zon merah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan, katanya.

Kes jangkitan baharu Covid-19 di dalam negara mencatatkan 23 kes hari ini berbanding 21 semalam.

Sementara itu di Kuching, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas di sini esok untuk membincangkan perkembangan terkini pandemik Covid-19 di Daerah Kuching, kata Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, beliau berkata daerah berkenaan mencatatkan peningkatan ketara kes positif akhir-akhir ini dengan hari ini sahaja lapan kes positif baharu telah dilaporkan.

“Terdapat 39 kes (baharu) positif (terkumpul sejak Ahad lepas) dan dengan satu lagi kes, kami akan menjadi zon merah daripada kuning. Apabila menjadi (zon) merah, ia mencerminkan betapa seriusnya keadaan ini. Ini memerlukan langkah-langkah tertentu diambil. Mesyuarat esok diadakan khas untuk menentukan langkah-langkah ini,” katanya.

Beliau berkata apa sahaja langkah yang dipertimbangkan dan ditentukan akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Kami mahu mereka bertindak supaya kami dapat menguatkuasakan atau melaksanakannya secepat mungkin,” katanya, sambil menambahkan bahawa larangan perjalanan akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Penasihat jawatankuasa berkenaan, Dr Sim Kui Hian yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri dan Dr Stephen Rundi (Menteri Utiliti Sarawak), Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing dan pasukan pakar perubatannya dijangka menghadiri mesyuarat tersebut.

– Bernama / Malaysiakini

error: ...