Malaysia tak mampu tempuh PKP lagi

Jika kes Covid-19 terus meningkat, kerajaan tidak menolak akan melaksanakan PKP atau PKPD secara lokaliti.
www.sinarharian.com.

SEJAK awal bulan ini, angka harian kes positif Covid-19 di Malaysia tiba-tiba meningkat kepada dua angka.

Tidak cukup dengan itu Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengumumkan kemunculan 22 kluster baharu yang menyumbang kepada peningkatan angka tersebut.

Ada Kluster Hyde Park, Kluster PUI Melbourne, Kluster Elsa, Kluster PUI Ramnad, Kluster Jupiter, Kluster Warga Emas Kluang dan Kluster Restoran Kuala Lumpur.

Lebih menakutkan tiba-tiba negara dikejutkan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang baru pulang dari luar negara. Individu itu bukan sahaja tidak berdisiplin dalam mengkuarantinkan diri di rumah, malah lebih buruk menanggalkan pula gelang tangan merah jambu di tangan mereka.

Yang pasti, peningkatan tersebut menyebabkan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak yang melihat ia bagaikan bibit-bibit awal kepada gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia.

Apatah lagi amaran dan keresahan tersebut turut disuarakan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengakui Malaysia mungkin berdepan peningkatan kes mendadak dalam tempoh terdekat.

Persoalannya jika angka ini terus melonjak adakah Malaysia mampu untuk berdepan dengan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua?

Dengan pendedahan jujur Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan nilai keseluruhan lebih RM63 bilion, ternyata PKP kali kedua adalah satu mimpi ngeri untuk rakyat Malaysia.

Apatah lagi, dalam satu Laporan Kestabilan Kewangan Global: Keadaan Pasaran sewaktu Covid-19, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, situasi kewangan global semasa yang lebih sempit serta semakan unjuran pertumbuhan global 2020 yang turun mendadak menyebabkan agihan pertumbuhan dunia akan bergerak ke arah negatif.

Muhyiddin sebelum ini turut berulang kali menegaskan ekonomi negara akan runtuh jika kerajaan tersilap percaturan ketika melawan pandemik Covid-19.

PKP secara lokaliti

Selain itu, ahli ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd, Atiqa Noor Azlan dalam satu laporan media berkata, petunjuk pemulihan ekonomi yang berlaku sejak Mei lalu akan terus merudum jika kerajaan melaksanakan semula PKP.

Katanya, syarikat yang tidak dapat menahan kemerosotan permintaan terpaksa menutup operasi atau memberhentikan lebih banyak pekerja untuk mengurangkan kos mereka.

“Kalau PKP terpaksa dilaksanakan, kita berharap ia dibuat secara bersasar mengikut lokaliti terjejas bukan di seluruh negara.

“Satu lagi suntikan fiskal yang disasarkan untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan isi rumah akan membantu mengurangkan kerosakan ekonomi, namun tidak pasti sama ada kerajaan ada keupayaan untuk berbuat demikian atau tidak,” katanya.

Berdasarkan petunjuk-petunjuk daripada pakar, hampir pasti impak ekonomi amat buruk terhadap negara jika PKP kali kedua dilaksanakan.

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor memberitahu, jika kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP, ia hendaklah dilakukan secara lokaliti dan bukan seluruh Malaysia bagi menyelamatkan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia tidak mampu untuk berdepan dengan satu lagi PKP kerana perniagaan PKS akan terjejas lebih teruk.

Ini kerana impak dan tekanan daripada PKP sejak Mac lalu hakikatnya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya bimbang ketahanan ekonomi negara tidak mampu lagi bertahan jika PKP terpaksa dilaksanakan.Dr Noor Hisham – Foto Bernama

“Sektor pelancongan dan penerbangan yang baru mula bergerak akan runtuh. Jadi kalau boleh jangan buat PKP seperti dulu.

“Buat PKP secara lokaliti sahaja. Sekarang ekonomi negara masih belum pulih, umpama orang yang baru sembuh daripada sakit, terkena sakit lagi, maka keadaan akan jadi lebih teruk,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Noor Hisham kelmarin turut membayangkan mengenai PKP lokaliti apabila beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau PKP di Sarawak selepas peningkatan kes yang agak ketara di negeri itu.

Berisiko

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ruhani Mat Min mengakui, rakyat Malaysia hari ini semakin melupakan amalan normal baharu mungkin disebabkan keadaan Covid-19 di negara kita yang masih terkawal.

Katanya, bila semakin ramai rakyat mengambil sikap acuh tak acuh, maka masyarakat kita berisiko untuk mendapat gelombang wabak Covid-19 terbaru dan ia perlu dielakkan sama sekali.

“Sebelum ini orang rasa tersekat kerana PKP sejak bulan Mac lalu menghalang banyak aktiviti dilakukan.

“Bila sekatan sudah ditarik balik, maka mereka ini rasa teruja untuk keluar dan menjalankan aktiviti seperti biasa. Keadaan Covid-19 di Malaysia yang terkawal juga menyebabkan orang ramai rasa selamat dan terlupa mengenai normal baharu yang perlu diikuti.

“Bagi saya, tanggungjawab ini bukan terletak pada kerajaan sahaja, tetapi kepada semua individu. Kita semua perlu sedar tanggungjawab kita semua,” katanya.

Menurut Ruhani lagi, langkah mewajibkan pelitup muka wajib dipakai di tempat awam bermula 1 Ogos ini merupakan isyarat penting bahawa kita masih belum menang melawan Covid-19.

“Saya menyokong langkah tersebut, inilah yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah di Pusat Penyelidikan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Datin Dr Mariani Md Nor turut mengakui orang awam semakin melupakan amalan normal baharu kerana menganggap diri mereka kebal dan tidak akan dijangkiti Covid-19.

“Dalam masa sama juga sikap dengan rutin harian yang telah sebati dalam diri mereka sejak berdekad mengikut umur seperti tidak memakai topeng muka, tidak membasuh tangan selalu dan tiada penjarakkan sosial apabila bersama keluarga dan kawan-kawan. Jadi bila sekatan sudah tiada, mereka seperti burung yang bebas,” katanya.

Sekarang semuanya tertakluk di atas diri kita. Jangan salahkan pihak berkuasa jika undang-undang lebih ketat terpaksa dilaksanakan.

Sumber : Sinar Harian

error: ...