Man City hantar Aguero ke Barcelona

PEMAIN Manchester City, Sergio Aguero cedera ketika menentang Burnley, Isnin lalu. – Foto AFP

MANCHESTER: Sergio Aguero mahu lututnya segera dibedah bagi menyelamatkan impian Liga Juara-Juaranya.

Legenda Manchester City itu cedera ketika kemenangan 5-0 ke atas Burnley Isnin lalu dan pengendali City Pep Guardiola menjangkakan sesuatu yang serius.

Semalam, kelab mengesahkan akan menghantar Aguero ke Sepanyol untuk dinilai oleh Dr Ramon Cugat.

Pakar bedah berpangkalan di Barcelona itu dilabel sebagai “Messi dunia perubatan” dan orang yang bertanggungjawab melanjutkan karier Guardiola sebagai pemain.

Sekiranya pembedahan dilakukan segera, Aguero berpeluang untuk berdepan Real Madrid pada pertembungan kelompok 16 Liga Juara-Juara pada Ogos.

“Dia rasa ia adalah meniskus, kerana jika ia kecederaan lebih serius, lututnya akan terasa berbeza.

“Dia akan menjalani imbasan MRI dan tahap kecederaan akan dinilai. Selepas pembedahan dia akan berada di Barcelona untuk lima atau enam hari dan kembali ke Manchester untuk pemulihan,” kata bapa Aguero, Leonel Del Castillo. – AGENSI / */ Sumber : Sinar Harian

error: ...