Mangsa keracunan puding buih meningkat kepada 99 orang

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan 25 lagi mangsa baharu kes keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih.

Semalam, media melaporkan seramai 74 individu mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian.

Perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan individu yang mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati hidangan pencuci mulut berkenaan setakat ini seramai 99 orang berbanding 74 orang semalam.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu seramai 77 mangsa merupakan dari Kuala Terengganu manakala selebihnya dari Marang.

Menurutnya, 35 mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU), 10 mangsa di hospital swasta dan 23 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“31 lagi mangsa keracunan yang berjaya dikesan menunjukkan simptom ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Semua pesakit di wad dilaporkan stabil kecuali pesakit di ICU dilaporkan tenat.

“Bagaimanapun, 11 pesakit di HSNZ dan seorang pesakit di hospital swasta masing-masing sudah dibenarkan keluar hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan angkara puding buih, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa beraya di hospital dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan pencuci mulut itu ketika berbuka puasa ketika akhir Ramadan lalu.

Puteri Nor Farisha Damia Mohd Faizul, 11, mula sakit perut dan muntah kira-kira jam 5 pagi hingga keadaannya lesu manakala lima sepupunya berusia 6 hingga 20 tahun yang turut menjamah puding buih juga mengalami keadaan sama.

JKNT mengesahkan seramai 48 pesakit mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei dan jumlahnya meningkat kepada 74 orang sehari selepas itu.

Berikutan itu, JKNT sudah memeriksa premis peniaga terbabit dan pengambilan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.

Sebanyak 11 swab persekitaran, empat swab tangan dan empat sampel makanan juga diambil untuk tindakan lanjut dan JKNT turut menutup dapur premis untuk jualan peniaga puding buih itu mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun depan. / Sumber : Sinar Harian

error: ...