Masalah seksual antara punca cerai di Terengganu

MASALAH seksual, tidak bertanggungjawab terhadap pasangan selain anak antara punca utama perceraian di negeri ini.

Punca lain perceraian ialah lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah ekonomi, kerjaya, kesihatan, akhlak, sosial serta masalah komunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata, Terengganu merekodkan 13,157 kes perceraian membabitkan pasangan Muslim dalam tempoh lima tahun bermula 2015.

Berdasarkan pecahan, 2,682 pasangan dilaporkan bercerai pada 2015 diikuti 2,715 pasangan (2016), 2,758 (2017), 2,553 (2018) dan 2,449 pasangan (2019).

“Memang banyak faktor yang mengakibatkan perceraian namun punca utamanya adalah disebabkan pasangan tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa kepada masalah-masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ab Razak Ibrahim (PAS-Air Putih) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Mohd Nor, kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu perceraian dengan memberi tumpuan kepada tiga golongan sasaran iaitu pasangan yang belum berkahwin, pasangan sudah berkahwin dan pasangan yang mempunyai konflik dalam perkahwinan.

Katanya, kumpulan itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Antara program dilakukan adalah kursus pra perkahwinan, pra perkahwinan Islam, seminar kekeluargaan, kursus kepada pasangan yang berkahwin lebih lima tahun dan khidmat nasihat cara keluarga Islam bagi membantu masalah rumah tangga,” katanya.

Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nor (PAS-Bukit Payong) memaklumkan, 181 pasangan di negeri ini bercerai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, 2,409 pernikahan direkodkan Bahagian Undang-Undang keluarga bagi Pernikahan dan Perceraian dalam tempoh sama. */ Sumber : Sinar Harian

error: ...