Menggesa kerajaan membenarkan Mahasiswa gesa dibenarkan pulang sebelum Aidilfitri

KUALA LUMPUR : Gabungan beberapa persatuan mahasiswa menggesa kerajaan membenarkan penuntut yang masih berada di kampus dibenarkan pulang ke negeri masing-masing secara berperingkat.

Mereka juga menggesa disediakan pengangkutan khas untuk membawa pulang mahasiswa itu melalui kerjasama strategik pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti dan kerajaan negeri sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Langkah itu berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 April ini, seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semalam.

Gesaan yang dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama itu turut mencadangkan pihak KPT dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri memberikan subsidi untuk menampung sebahagian kos pengangkutan.

“Caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah. Lebih baik jika kos pengangkutan ditampung sepenuhnya tanpa caj bayaran kepada mahasiswa,” kata kenyataan bersama itu.

Gabungan 14 persatuan pelajar itu membabitkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI); Kelab Mahasiswa

Penyokong PAS (SiswaPAS), Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa) dan Kesatuan Perwakilan Mahasiswa Malaysia (KPMM).

Turut serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Pembebasan Akademik (GPA), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Mahasiswa AMANAH Nasional; Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa), Nadi Mahasiswa Malaysia dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Gabungan itu turut mengesyorkan setiap mahasiswa yang berada dalam kampus perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum proses penghantaran mahasiswa dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, pelajar yang didapati positif COVID-19 tidak dibenarkan pulang dan dihantar untuk proses kuarantin.

“Walaupun mahasiswa yang berada di kampus sudah lebih daripada tempoh kuarantin yang disarankan, sebagai langkah berjaga-jaga usaha ini wajar dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang mendatang.

“Jika rumah mahasiswa berada di kawasan merah atau “red zone” kami serahkan kepada kebijaksanaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pergerakan mahasiswa yang dibawa pulang mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, gabungan itu mahu kebajikan makan minum, kesihatan mental dan fizikal mahasiswa di universiti terus dijaga sebelum mereka dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Mahasiswa perlu bertenang berikutan perkembangan terkini wabak COVID-19 dan dinasihatkan terus mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berkata akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata keutamaan ketika ini bukan hanya menghantar pulang mereka tetapi pulang dalam keadaan selamat dan sihat.

Noraini dalam entri di Facebook beliau turut berkata, perkara ini akan di bawa ke Mesyuarat Khas Menteri mengenai COVID-19, hari ini.

Sumber : Berita Harian Online

error: ...