Messi obses dengan Muhammad Ali

Beberapa gambar ketika era kegemilangan Ali tergantung di dinding Casa de Messi sebagai sumber inspirasinya ketika bersenam.

LONDON: Walaupun menjadi pujaan peminat bola sepak seluruh dunia tetapi Lionel Messi mempunyai idolanya yang tersendiri iaitu Muhammad Ali.

Beberapa gambar penyerang antarabangsa Argentina itu melakukan senaman di gimnasium di kediamannya ketika perintah berkurung susulan pandemik COVID-19 membuktikan betapa dia obses dengan petinju legenda itu.

Malah, beberapa gambar ketika era kegemilangan Ali tergantung di dinding Casa de Messi sebagai sumber inspirasinya ketika bersenam.

Pemain berusia 32 tahun itu sememangnya dikenali sebagai peminat sukan tinju dan ikon Amerika Syarikat itu menduduki tangga teratas senarai atlet pujaannya.

Messi kerap memakai baju T yang tertera muka Ali.

Messi salah seorang bintang sukan yang memberi penghormatan ketika Ali meninggal dunia pada 2016  pada usia 74 tahun.

Messi memuatnaik kenyataan mengenai legenda tinju itu di media sosialnya bersama foto Ali dengan kapsyen: “Terapung seperti rama-rama, menyengat umpama lebah.”

Perumpamaan itu hampir sama dengan watak Messi di atas padang menerusi gerakan lincahnya yang kemudian disempurnakan dengan sentuhan penyudah berbisa.

Dia juga kerap memakai baju T yang tertera muka Ali dalam banyak acara termasuk ketika menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona.

Kedua-dua bintang itu mempunyai persamaan dalam mengecapi kegemilangan dalam sukan masing-masing.

Ali meraih emas pada Sukan Olimpik 1960 dan menang 56 daripada 61 pertarungan profesional termasuklah tiga tahun ‘bersara’ seketika susulan kritikan ke atas perang Vietnam.

Dan seperti pertarungan heavyweight di antara Joe Frazier dan George Foreman, Messi bersaing sengit dengan musuh ketat, Cristiano Ronaldo.

Tahun lalu, bintang Barca itu meraih anugerah keenam Ballon d’Or sekaligus mengatasi bekas pencabar El Clasico.

Kabinet trofi Messi yang dipenuhi 10 gelaran La Liga, empat trofi Liga Juara-Juara dan emas Olimpik sekali gus menjadi bukti kehebatannya setanding dengan idolanya, Ali. – Agensi

SUMBER : Berita Harian

error: ...