Negara akan berdepan musim kemarau yang panjang

(Foto fail 3 Ogos 2019) Kenderaan melalui jalan dipenuhi asap dari pembakaran terbuka berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pada Ogos tahun lalu. – Kerajaan meningkatkan usaha pencegahan kegiatan pembakaran terbuka di negara ini yang berpotensi mencetuskan jerebu di peringkat tempatan. – Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan usaha pencegahan kegiatan pembakaran terbuka di negara ini yang berpotensi mencetuskan jerebu di peringkat tempatan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, menjelaskan langkah itu diambil selepas tinjauan cuaca mendapati negara akan berdepan dengan musim kemarau yang panjang.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca panas dan kering menerusi mekanisme berkaitan.

“Kerajaan sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 7 Januari lalu dan kita bersama dengan agensi pelaksana seperti bomba, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.

“Kedua, kerajaan juga aktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut sejak 6 Januari lalu.

“Ketiga, pertingkatkan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron atau teknologi terkini di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar.

“Terakhir, kerajaan tingkatkan penguatkuasaan kes pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan zon mudah terbakar, dengan mengadakan operasi bersepadu bersama agensi kerajaan dan jabatan lain,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. */ sumber : Berita Harian

error: ...