Padah guna surat kebenaran rentas negeri meragukan, di kompaun dan di arahkan patah balik

KUALA TERENGGANU: Polis Hulu Terengganu mengeluarkan kompaun terhadap seorang lelaki yang melakukan perjalanan rentas negeri dengan surat kebenaran meragukan.

Cubaan lelaki berusia 34 tahun dari Manir, di sini untuk ke Gua Musang terhalang di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Basung, Hulu Terengganu jam 3.35 petang, semalam.

Anggota polis bersama anggota tentera menjalankan pemeriksaan sekatan jalan raya di Kampung Basung, Jalan Kuala Berang menghala ke Aring, Gua Musang, Kelantan. – Foto NSTP/Ghazali Kori

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Md Daud, berkata ketika pemeriksaan, lelaki terbabit yang menaiki kereta bersama isteri dan anak memberi alasan melawat saudaranya di Gua Musang.

“Lelaki terbabit menunjukkan surat kebenaran rentas negeri yang tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi meragukan apabila surat berkenaan tidak ada pengesahan daripada mana-mana balai polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pengimpal di Manjung, Perak mendakwa pulang ke negeri ini bersama keluarga pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipercayai menggunakan surat kebenaran berkenaan.

“Kita mengeluarkan kompaun kepada lelaki terbabit sebelum diarah untuk berpatah balik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemeriksaan di SJR Kampung Basung, pihaknya memeriksa sebanyak lebih 350 kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Kebanyakan yang diperiksa mendakwa untuk pulang bekerja di Gua Musang, Lipis dan Perak selain perjalanan dalam negeri dan kesemua mereka memiliki surat kebenaran perjalanan dan rentas negeri yang sah.

“Laluan Kampung Basung adalah laluan utama pengguna jalan raya untuk ke Aring-Gua Musang dan Simpang Pulai, Perak,” katanya.

Mohd Adli mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba mengemukakan dokumen palsu atau menipu dengan pelbagai alasan kerana pihaknya tidak berkompromi dalam melaksanakan PKPB bagi mengekang penularan wabak COVID-19. / Sumber : Berita Harian

error: ...