Pasar raya diarah tutup, terlalu ramai pengunjung

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan sebuah pasar raya terkenal di Taman Desa Tebrau, di sini, ditutup seminggu mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.

Notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan KKM hari ini, viral di media sosial sejak petang tadi.

Notis berkenaan antara lain memaparkan arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula dari jam 4 petang 25 Mei 2020 sehingga 1 Jun 2020.

Ia bertujuan menjalankan kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Netizen mendakwa arahan penutupan pasar raya terkenal itu berikutan ia dikunjungi terlalu ramai pengunjung sehingga menyebabkan kawalan selain penjarakan sosial sukar dilakukan dengan berkesan.

Sementara itu, jurucakap pasar raya berkenaan yang dihubungi mengesahkan arahan penutupan premis berkenaan mulai hari ini yang dikeluarkan KKM.

“Kami menafikan segelintir dakwaan yang menyatakan berlaku jangkitan COVID-19 di premis ini.

“Arahan penutupan dikeluarkan KKM berikutan terlalu ramai pengunjung datang ke premis sekali gus prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial sukar dilaksanakan, ” katanya. / Berita Harian

Pengunjung pusat beli belah bersesak

Pengunjung pusat beli belah di Tebrau bersesak tanpa penjarakan sosial, cetus kebimbangan apatah lagi Tebrau pernah berada dalam zon jingga.

JOHOR BAHRU: Puluhan pengunjung sebuah pusat beli belah dipercayai di Taman Desa Tebrau, bersesak beratur tanpa penjarakan sosial untuk memasuki premis berkenaan, petang semalam, sehingga menimbulkan kebimbangan ramai.

Menerusi gambar yang tular di media sosial sejak malam tadi itu, antara lain memaparkan barisan panjang pengunjung yang ingin memasuki premis berkenaan dalam keadaan amat rapat dan tanpa penjarakan sosial.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna media sosial dan penduduk mukim Tebrau yang bimbang dengan penularan wabak COVID-19 berikutan pengunjung dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi penjarakan sosial.

Pengguna media sosial juga turut mempertikaikan kawalan keselamatan yang dilakukan di premis pusat beli belah itu dalam memastikan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan selain kegagalan kawalan kendiri pengunjung.

Malah pengguna media sosial turut melahirkan kebimbangan insiden berkenaan mungkin bakal melahirkan kluster baharu wabak Covid-19 di mukim Tebrau, apatah lagi mukim berkenaan pernah diumumkan berada dalam zon jingga, bulan lalu.

Seorang pengguna media sosial yang mendakwa turut berada di lokasi pusat beli belah itu berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika mengunjungi premis berkenaan bagi memeriksa lot niaga serta pekerjanya.

“Saya terkejut melihat pengunjung berasak-asak dalam barisan tanpa penjarakan sosial untuk diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan memasuki premis pusat beli belah.

“Kurang kawalan dan pemantauan pekerja keselamatan selain ketiadaan garis penjarakan sosial di lantai membuatkan pengunjung seolah-olah tidak kisah bersesak terlalu hampir dengan pengunjung lain malah teguran saya kepada beberapa pengunjung yang beratur di depan dan belakang juga tidak dipedulikan,” dakwanya ketika dihubungi.

Selasa lalu, sebuah pasar raya dan kedai emas di Kulai, dekat sini, dilaporkan diarahkan tutup pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Isnin lalu, berikutan kegagalan premis berkenaan melaksanakan penjarakan sosial sehingga pengunjung bersesak-sesak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata notis penutupan dikeluarkan terhadap dua premis itu berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor perniagaan ketika PKPB mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Pengurus Operasi Aeon Mall Tebrau City, Nabiha Taib, berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan kehadiran pengunjung ke premis berkenaan serta-merta selepas gambar orang ramai bersesak di premis itu tular, semalam.

Pengawal keselamatan dengan dibantu kakitangan bahagian operasi premis juga sudah diarah meningkatkan pengawasan di pintu masuk selain memastikan pengunjung mengikut SOP ditetapkan.

“Hanya tiga pintu dibuka bagi memasuki pusat beli belah ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Isnin lalu, iaitu dua di tingkat parkir bawah tanah selain satu di parkir ruang terbuka bagi meminimumkan kemasukan pengunjung ke dalam premis pada satu-satu masa.

“Empat orang pengawal keselamatan dibantu kakitangan bahagian operasi juga ditugaskan memantau keadaan di semua pintu masuk bagi pemeriksaan suhu badan dan proses imbasan QR Code maklumat setiap pengunjung sebelum dibenarkan masuk.

“Kakitangan juga sentiasa memantau penjarakan sosial pengunjung yang beratur namun apabila barisan terlalu panjang sehingga ke belakang, ia menjadi agak sukar dikawal terutama semalam, hari hujung minggu.

“Namun kami akan meningkat dan mengetatkan lagi pemantauan di semua pintu masuk dan berharap pengunjung supaya bersabar ketika beratur dan terus melaksanakan penjarakan sosial,” katanya ketika dihubungi. / Berita Harian

error: ...